Sebanyak 117 kes baharu wabak Coronavirus (COVID-19) dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata peningkatan itu menjadikan keseluruhan sebanyak 790 kes positif penyakit itu dicatat setakat ini. Hal ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menyeru semua pihak terutamanya penyokong bola sepak tempatan, para pemain dan jurulatih bekerjasama mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Alhamdulillah, sejauh ini, semua pihak memberi kerjasama dan menunjukkan semangat sepasukan yang tinggi dalam sama-sama membantu FAM menangani cabaran ini.

“Maka itu bagi pihak FAM, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menghulurkan sekalung penghargaan kepada semua ahli gabungan, rakan-rakan penaja, penyokong dan warga bola sepak tempatan atas sokongan penuh sepanjang tempoh bertenang ini.

“Sambil saya menyeru agar semua rakan-rakan untuk menjaga kesihatan, mengambil langkah-langkah pencegahan dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta pihak berkuasa, mari kita sama-sama berdoa, tanpa mengira agama dan bangsa, agar kita dijauhkan daripada wabak ini supaya semua aktiviti dan pertandingan bola sepak tempatan kembali dianjurkan seperti sedia kala.

“Saya juga memberi jaminan FAM akan berhubung dan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa dengan semua pemegang taruh sebarang perkembangan mutakhir sambil meletakkan kepentingan bola sepak di atas segala-galanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam menangani wabak COVID-19, FAM sebelum ini mengambil tindakan melarang penonton daripada menghadiri semua perlawanan Liga Malaysia berkuatkuasa 13 Mac lalu.

Seterusnya bermula pada 16 Mac yang lalu, FAM menunda semua perlawanan dan aktiviti bola sepak di semua peringkat berkuat kuasa serta-merta sehingga pada satu tarikh yang ditetapkan.

Keputusan ini dibuat demi kemaslahatan umum selepas mengambil kira semua aspek dan cabaran serta kekangan pemegang taruh, termasuk penjualan tiket dan impak yang besar kepada penonton, media, penaja dan rakan-rakan kongsi secara amnya.

Walaupun langkah ini dilihat sebagai drastik dan mempunyai kesan yang amat besar terhadap industri bola sepak tempatan, ia sejajar dengan arahan Kerajaan Persekutuan menerusi pengumuman YAB Perdana Menteri berhubung perintah kawalan pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac.

Baca artikel lain mengenai wabak COVID-19 yang telah menjejaskan aktiviti bola sepak dari seluruh negara Asia.

Beberapa Negara Tolak Jemputan Perlawanan Persahabatan Dengan Malaysia Kerana Coronavirus

Liga Korea Terpaksa Ditangguhkan Kerana Wabak Coronavirus

Iraq Buat Keputusan Batalkan Perlawanan Persahabatan Bertemu Vietnam Atas Faktor Isu Coronavirus