Hari ini Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya telah mendedahkan laporan bedah siasat kepada umum untuk mencari punca kegagalan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu.

Biarpun mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal ke separuh akhir.

Salah satu penemuan mengejutkan ialah strategi naturalisasi pemain untuk pasukan kebangsaan tidak berkesan, dengan kehadiran Guilherme De Paula gagal memberi impak kepada pasukan negara.

Menurut ketua pasukan bedah siasat, Datuk Dell Akhbar Khan, mereka mendapati pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh telah menolak panggilan ke skuad kebangsaan sekaligus menyebabkan Malaysia kekurangan sejumlah besar ‘Core players’ untuk beraksi di Piala AFF 2020.

“Pada awal lagi memang ada kekurangan di pihak FAM untuk menghantar jumlah yang sepatutnya boleh dihantar. Peraturan pertandingan membenarkan untuk menghantar 30 pemain untuk didaftarkan.

“Jadi pada awal terdapat kekurangan. Di mana silapnya? FAM perlu jawab. Kerana ada sebilangan yang dipanggil, tidak dapat menyertai.

“Sumareh misalnya, menolak tawaran untuk bermain kali ini,” kata Dell Akhbar.

Bagaimanapun, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin sempat membalas pertanyaan wartawan mengenai isu Sumareh ketika sidang media.

Hamidin berkata, FAM membuat keputusan untuk menyenaraikan Pemain Paling Bernilai ABK21, Arif Aiman bagi menggantikan tempat Sumareh setelah berbincang dengan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.

“Saya nak jawab sikit isu tentang Sumareh. Saya harap saya punya kenyataan ini bukan dianggap sebagai kenyataan lepas tangan, yang benar tu benarlah. Sumareh telah berjumpa dengan saya dengan coach Tan beberapa hari (sebelum kejohanan bermula).

“Kerana mereka ini, apabila ada masalah besar memang datang berjumpa dengan saya kerana saya presiden, untuk mereka buat apa pun kerana sudahnya, saya yang bertanggungjawab.

“Lepas tu, Sumareh datang jumpa saya dan coach Tan, dalam perbincangan tu, dia ada nak cakap sesuatu yang penting berkaitan dengan keluarga dia di kampung dia di Gambia. Sesuatu yang personal (peribadi) dengan keluarga dia. Jadi, dia minta boleh tak lewat datang untuk perlawanan kedua, saya ingat, dia boleh sampai. Lebih kurang dalam masa tu la.

“Jadi, saya bincang dengan Tan, saya cakap dengan Sumareh, kalau boleh, kamu kena sertai pasukan dari sekarang. Selepas berbincang, Tan setuju.

“Lepas tu, Tan cakap dengan saya, ‘Datuk, kita tak payah ambil dia, kita ambil Arif Aiman,’, Haaa, itu cerita dia, jadi tak payah nak elaborate (terangkan) lebih. Saya suka nak moving forward (pandang ke depan). Jadi, ketika itu, kita setuju untuk gantikan dengan Arif Aiman, sebab itu kenapa kita panggil dia,” jelas Hamidin.

Sebelum ini, nama Arif Aiman tiada dalam panggilan ke kem latihan pusat pada bulan November 2021 kerana Tan Cheng Hoe merasakan pemain itu perlu direhatkan setelah beraksi dalam banyak perlawanan musim lalu.

“Kita terpaksa rehatkan Arif Aiman, bukan kita sengaja tinggalkan beliau. Kalau kita lihat, beliau pemain muda yang berpotensi dan ia dapat dilihat dari segi permainannya. Sudah tentu pemain muda ini kita tidak boleh terlebih guna (overused) atau dia mungkin tidak dapat beraksi dengan baik akibat keletihan,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Kim Pan-gon Mula Tugas Latih Harimau Malaya Pada Bulan Mac 2022

FAM Dapat RM10 Juta Daripada Kerajaan Untuk Pembangunan Bola Sepak

Scott O’Donell Mahu FAM Lantik Jurulatih Import Untuk Skuad Harimau Malaya

Shukor Adan Antara 6 Individu Yang Dipilih Sertai Pasukan Bedah Siasat Laporan Prestasi Harimau Malaya