Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam mengumumkan perlantikan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Malah, Hamidin juga merupakan Pengerusi bersama dalam pembentukan pasukan projek Road to Gold dengan objektif untuk menyelaras usaha negara bagi meraih pingat emas di Sukan Olimpik.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh dan YBhg. Tan Sri (Dr.) Norza Zakaria, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Dengan mengambil kira struktur dan kaedah pelaksanaan projek Olimpik sebelum ini serta baki tempoh hanya setahun sahaja bagi menghadapi Olimpik Paris pada tahun hadapan, Jawatankuasa ini akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Paris 2024 dan Los Angeles 2028. Oleh itu, Jawatankuasa Gold Paris kini akan dikenali sebagai Jawatankuasa Road to Gold (RTG).

Hannah Yeoh berkata pihaknya mengambil kira struktur dan kaedah pelaksanaan projek Olimpik sebelum ini serta baki tempoh setahun bagi menghadapi Olimpik Paris tahun hadapan, jawatankuasa RTG akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

“Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan Program Podium sedia ada yang mana ia memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri,” katanya ketika sidang media.

Lebih menarik, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam turut dilantik sebagai penyelaras projek dan akan dibantu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai selaku pembantu penyelaras projek.

Ahli Jawatankuasa antaranya terdiri daripada Ketua Setiausaha KBS, Dr Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Mohd Ramli.

Melengkapi senarai ialah Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, bekas ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David yang turut dipilih sebagai timbalan ketua kontinjen Sukan Olimpik Paris 2024, legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei dan legenda hoki, Datuk Mirnawan Nawawi.

Mengulas mengenai pemilihan Stuart, Hannah berkata latar belakang bekas Setiausaha Agung FAM itu menjadikannya calon yang sesuai kerana peranan itu memerlukan kepakaran menjalinkan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan secara strategik.

“Kedua-dua, Stuart dan Michelle membawa bersama mereka pengalaman kerja yang luas dengan badan dan agensi sukan antarabangsa. Tugas segera jawatankuasa ini adalah untuk mengenal pasti keperluan tambahan yang diperlukan bagi menjayakan misi meraih emas di Olimpik,” katanya.

Hannah berkata semua pelantikan ialah atas dasar sukarela sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan negara secara kolektif.