Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin menjadi salah seorang yang dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) untuk penggal 2022 – 2026 yang disahkan dalam Kongres Biasa AFF ke-29 di Siem Reap, Kemboja hari ini.

Empat lagi yang turut dipilih menjadi Ahli Majlis AFF ialah Chris Nikou (Australia), Viphet Sihachakr (Laos), Ko Ko Thein (Myanmar) dan Thanasak Suraprasert (Thailand).

Jawatan Presiden AFF pula menyaksikan penyandang, Mejar Jeneral Khiev Sameth menang tanpa bertanding untuk penggal keduanya.

“Kami terus mengharapkan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggota AFF di bawah kepimpinan Sameth agar AFF dapat membantu ahli gabungannya menaikkan standard bola sepak Asia Tenggara.

“Dengan pemilihan sebagai ahli majlis ini juga saya akan terus memastikan suara Malaysia sentiasa didengari di peringkat Asia Tenggara.

“Saya mempunyai sebab tersendiri iaitu untuk tidak bertanding merebut jawatan yang lebih tinggi kerana apa yang paling utama buat saya ialah Negara Malaysia,” kata Datuk Haji Hamidin sejurus tamat kongres.

Turut Hadir, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman.

Kongres AFF yang disusuli mesyuarat majlis badan itu, perwakilan FAM dianggotai Datuk Haji Hamidin, Datuk Wira Mohd Yusoff dan Noor Azman.

Rumusan Pemilihan:

1. Presiden AFF
Penggal 2022-2026
Mejar Jeneral Khiev Sameth (Kemboja)

2. Naib Presiden AFF
Penggal 2022-2026
⁃ Pengiran Matusin bin Pengiran Matasan (Brunei Darussalam)
⁃ Maaike Ira Puspita (Indonesia)
⁃ Hon. Francisco Martins da Costa Pereira Jeronimo (Timor Leste)

3. Ahli Majlis AFF
Penggal 2022-2026
⁃ Chris Nikou (Australia)
⁃ Viphet Sihachakr (Laos)
⁃ Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin (Malaysia)
⁃ Ko Ko Thein (Myanmar)
⁃ Thanasak Suraprasert (Thailand)

4. Ahli Majlis Wanita AFF
Penggal 2022-2026
⁃ Teo Chwee Lian Julie (Singapura)