Minggu lepas, juara Liga Super 7 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) disahkan tidak dibenarkan berlepas ke Doha, Qatar bagi menghadapi saingan AFC Champions League 2020 (ACL) yang akan bermula pada 18 November ini.

Ia kerana polisi kerajaan tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Disebabkan tidak dapat hadir di Doha, JDT kemungkinan bakal berdepan hukuman daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berdasarkan artikel 6.2.5.3 dalam peraturan pertandingan.

Kelab

Sumber Gambar: JST

Peminat juga bimbang penarikan diri itu akan memberi kesan kepada Malaysia dalam jangka masa panjang dari segi kedudukan mata dan slot MA (Member Associations) untuk pertandingan peringkat Asia.

Mengulas mengenai isu tersebut, Setiausaha Agung AFC, Dato’ Windsor Paul John menyatakan peminat tidak perlu risau kerana ia tidak ada kena-mengena dan tidak akan menjejaskan slot Malaysia dalam saingan ACL dan AFC Cup.

“Ini tidak ada kaitan dengan slot MA kerana itu adalah milik mereka.

“Kami mengira berdasarkan mata yang telah diperoleh dan mengikut kriteria bagaimana ia ditentukan. Tetapi masih terlalu awal untuk membicarakan tentang ini kerana pada akhirnya, mungkin tidak ada,” kata Windsor dipetik dalam New Straits Times. 

JDT sempat menghadapi dua perlawanan di peringkat kumpulan menentang Vissel Kobe pada 12 Februari lalu kemudian mencatat kemenangan 2-1 ke atas Suwon Bluewing pada 3 Mac 2020 di Stadium Sultan Ibrahim.

Menurut artikel 6.1 dan 6.2.1 peraturan pertandingan AFC Champions League 2020, semua perlawanan JDT sebelum ini dianggap batal. Untuk mengelakkan keraguan, semua mata dan gol dalam perlawanan tersebut tidak akan dipertimbangkan bagi menentukan kedudukan akhir di peringkat kumpulan.

“Apa yang terjadi pada JDT bukanlah masalah kerana kami masih mempunyai waktu untuk membincangkan tentang isu ini. Tetapi dokumen seperti surat rayuan dan arahan kerajaan yang tidak membenarkan perjalanan JDT akan diserahkan kepada jawatankuasa tatatertib pertandingan.

“Ini bergantung kepada pasukan undang-undang untuk memutuskan apakah jenis hukuman yang termasuk dalam kategori ini,”jelas Windsor.

Berdasarkan situasi semasa, peminat berharap hukuman JDT dapat dikurangkan kerana mereka bukan menarik diri secara sengaja tetapi ia adalah larangan daripada pihak kerajaan sendiri.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak asia melalui pautan dibawah. 

Media Vietnam Ini ‘Cincai Kira’ Kutip 6 Mata Lawan Malaysia Dan Indonesia, Lolos Ke Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia 2022

Tonton Video Tembual Hadi Fayyadh Dalam Bahasa Jepun Yang Amat Membanggakan

FAS Dan Nike Lancar Jersi Baharu Skuad Kebangsaan Singapura

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group