Kejayaan skuad negara bawah 15 tahun (B-15) menjuarai kejohanan AFF B-15 selepas menewaskan Thailand, 2-1 sebentar tadi telah membanggakan seluruh peminat bola sepak tempatan sehingga mendapat perhatian daripada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

Hamidin turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan kebangsaan B-15 yang bergelar juara Kejuaraan B-15 AFF di Chonburi, selepas menewaskan tuan rumah Thailand 2-1, hari ini.

“Setinggi-tinggi kepujian seharusnya di berikan buat pemain, ketua jurulatih B-15 P. Maniam, barisan kejurulatihan yang ada untuk pasukan ini serta Naib Presiden FAM yang juga merangkap pengurus pasukan, Dato’ S Sivasundaram. Mereka telah melakukan yang terbaik sepanjang sebulan ini terutama dalam mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Pasukan bermain dengan baik dan komited dalam setiap perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook FAM.

67788039_2317152725048145_1612080214655893504_n
FOTO: FAM

Turut sama mengiringi Dato’ Haji Hamidin dalam memberi sokongan ialah, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan exco FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.

Kekalkan prestasi cemerlang dalam saingan kelayakan AFC B-16

Dato’ Haji Hamidin juga berharap skuad kendalian P. Maniam itu teruskan rentak cemerlang dalam persedian menjelang Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020, September ini di Laos.

“Saya yakin dengan prestasi memberangsangkan pasukan, kejayaan demi kejayaan akan dapat kita kekalkan namun pasukan perlu kekal fokus dan disiplin. Mari kita sama-sama terus memartabatkan lagi sukan bola sepak negara,” katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J pada Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020 pada 18-22 September ini menentang Jepun, Cambodia dan Laos.

67895936_2317152858381465_4875305261310410752_n
FOTO: FAM

Kejohanan AFF B-15 adalah kejuaraan kedua mereka dalam masa sebulan selepas mereka turut muncul sebagai juara dalam satu kejohanan jemputan di China.