Penyerang Liverpool, Darwin Nunez tanpa berselindung mengakui bahawa beliau tidak beraksi dengan baik sejak mula menyertai kelab tersebut pada Jun 2022.

Nunez hadir ke Anfield dengan reputasi hebat apabila beliau menjadi rekod perpindahan tertinggi buat Liverpool dengan nilai perpindahan berjumlah £85 juta.

Selepas membuat 25 penampilan dalam semua pertandingan yang disertai The Reds pada musim ini, Nunez menjaringkan 10 gol dimana lima daripadanya terhasil dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sehubungan dengan itu, pemain berusia 23 tahun yang mengikat kontrak selama enam tahun itu menegaskan banyak perkara perlu diperbaiki untuk menepati apa diperlukan oleh pengendali pasukan, Jurgen Klopp.

“Saya rasa dia mahu melihat apa yang disaksikannya ketika saya berada di Benfica,” ujar Nunez menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Sebagai contoh ketika perlawanan saya menentang Liverpool [Liga Juara-Juara Eropah musim lalu], dimana saya beraksi dengan baik.”

“Saya merasakan bahawa saya tidak beraksi dengan baik pada ketika ini tetapi saya sentiasa mahu meningkatkan prestasi. Setiap hari saya cuba untuk meningkatkan prestasi.”

“Klopp mengetahui kekuatan saya adalah kepantasan yang saya miliki, berlari ke arah ruang. Dia juga memberitahu saya supaya lebih tenang apabila bermain dan saya perlu bergerak dengan lebih banyak.”

“Dia memberitahu saya itulah yang saya perlukan dan saya adalah pemain yang mempunyai banyak kualiti. Jadi, lebih kurang itulah yang dia mahukan daripada saya.”

“Dia ada mengatakan kepada saya bahawa saya perlu lebih tenang ketika beraksi apabila tiba masanya untuk menamatkan perlawanan,” tambah Darwin Nunez lagi.

 

 

 

Sumber