Penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok memilih untuk kekal bersama Petaling Jaya City bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Darren dilaporkan menolak beberapa tawaran menarik dari kelab Liga Malaysia.

Selain itu, Darren memilih untuk kekal bersama PJ City adalah kerana beliau mahu mendapat minit bermain yang mencukupi dan perkara itu mampu untuk dicapai kerana PJ menggunakan sepenuhnya pemain tempatan musim hadapan.

Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu itu menyertai PJ City pada awal musim ini dan serta-merta menjadi nadi utama kepada skuad bimbingan P.Maniam.

Pemain berusia 30 tahun itu menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super dimana beliau menjaringkan tiga gol pada lima perlawanan awal. Namun kecederaan menghalang Darren untuk meneruskan rentak cemerlangnya.

Dalam saingan Piala Malaysia pula, Darren Lok menjaringkan tiga gol dalam saingan peringkat kumpulan namun prestasi baik beliau gagal untuk membantu PJ City mara ke peringkat seterusnya.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyenaraikan Darren dalam skuad untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang akan bermula pada 5 Disember hingga 1 Januari 2022.

Rakan sepasukan pemain kacukan Malaysia-England itu di PJ City, R.Kogilewaswaran dan Kalamullah Al Hafiz turut dipanggil bagi memperkuatkan skuad kali ini.

Kali terakhir Darren menyarung jersi skuad kebangsaan ialah pada 2017 dan satu-satunya gol yang dihasilkan oleh beliau ialah pada aksi persahabatan menentang Syria di Stadium Hang Jebat.

Menurut jadual rasmi, Harimau Malaya akan menentang Kemboja pada perlawanan pertama pada 6 Disember dan kemudian menentang Laos pada 9 Disember. Kedua-dua perlawanan ini berlangsung pada pukul 5.30 petang.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu akan bertemu juara bertahan, Vietnam pada 12 Disember sebelum menamatkan perlawanan di peringkat kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Harga Tiket Perlawanan Akhir Piala Malaysia Kekal Seperti Edisi 2019

Lima Pemain Muda Selangor Tandatangani Kontrak Jangka Panjang

TMJ Akui Pengadil Aksi JDT Menentang Terengganu Tampilkan Prestasi Buruk