Penampilan sulung penjaga gol Sri Pahang, Daniel Wafiudin ketika menentang KL City dalam saingan Liga Super pada hari jumaat lepas telah mendapat pujian daripada penyokong Tok Gajah.

Walaupun pasukan itu tewas 0-2, namun Wafiudin mempamerkan aksi yang menyakinkan dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada pemain lawan.

Rata-rata penyokong Tok Gajah berpendapat penjaga gol muda itu berpotensi untuk melangkah lebih jauh jika diberi lebih banyak peluang berada dalam kesebelasan utama setiap perlawanan.

Daniel turut berterima kasih kepada pengendali pasukan, Dollah Salleh atas peluang yang diberikan dan mengakui masih perlu banyak belajar dengan dua seniornya – Helmi Eliza dan Zarif Irfan – dan berjanji tampil dengan prestasi lebih baik jika diberi peluang sekali lagi.

“Syukur penantian untuk membuat penampilan dalam kesebelasan utama menjadi kenyataan, lebih manis ini aksi pertama saya di Liga Super sepanjang karier saya.

“Sebelum ini saya pernah bersama Pahang dari 2016-2018 tetapi sebagai penjaga gol ketiga dan tak dapat beraksi.

“Memang agak berdebar tetapi saya gembira dapat beraksi dengan baik, cuma saya minta maaf tidak dapat membantu pasukan menang dalam penampilan sulung.

“Saya berharap akan terus mendapat peluang untuk membuktikan kebolehan tetapi saya tahu saya kena bekerja keras, bukan mudah kerana di atas saya ada dua penjaga gol yang berpengalaman dan berkualiti,” kata Daniel dalam kenyataan di laman web rasmi Sri Pahang FC. 

Daniel tidak berselindung di dalam mengatakan dia menyimpan hasrat untuk menjadi penjaga gol utama Sri Pahang satu hari nanti, dan jika ada rezeki mahu menyarung jersi Harimau Malaya.

“Saya percaya kepada proses, ketika ini saya berusia 24 tahun, sasaran saya mungkin pada usia 25 atau 26 dapat menjadi penjaga gol utama pasukan dan selepas itu cuba memenangi tempat dalam skuad kebangsaan.

“Itu impian saya dan untuk itu saya perlu memburu lebih banyak minit permainan,” katanya.

Sebagai rekod, Daniel pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden Pahang pada 2015 dan diserap ke skuad senior setahun kemudian, sebelum berhijrah ke UKM FC pada 2019.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

JDT Semakin Hampir Bergelar Juara Liga Super Kali Kelapan

Rodney Celvin Disahkan Mengalami Kecederaan Bahu

Liga Super 2021: Perak Semakin ‘Tenat’, Selangor Kekalkan Kecemerlangan