Penjaga gol pasukan kebangsaan Jepun, Daniel Schmidt dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Jupiler League Pro, Sint-Truidense V.V bagi saingan musim hadapan.

Schmidt, yang dilahirkan di Illinois, Amerika Syarikat ketika ini beraksi bersama Vegalta Sendai dalam saingan J1 League dimana beliau telah beraksi dalam 16 perlawanan liga dan mengutip 4 clean sheets setakat ini.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu turut membuat penampilan pertama bersama pasukan kebangsaan Jepun dimana beliau dipanggil ketika skuad The Samurai Blue menyertai Kirin Challenge Cup pada 2018. Schmidt turut tersenarai dalam skuad Piala Asia 2019 dan beliau diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Jepun menewaskan Uzbekistan dengan keputusan 2-1.

Daniel Schmidt
Sumber Gambar: Daily Asia

Sint-Truidense ketika ini dibarisi oleh enam pemain Jepun dimana salah satunya merupakan pemain pertahanan muda yang sedang meningkat naik iaitu Takehiro Tomiyasu. Lima lagi pemain ialah Daichi Kamada (pinjaman daripada Eintracht Frankfurt), Kosuke Kinoshita, Yuta Koike, Takahiro Sekine (pinjaman daripada Ingolstadt) dan Wataru Endo.

Baru-baru ini, Tomiyasu yang beraksi bersama pasukan Jepun dalam saingan Copa America 2019 dilaporkan semakin hampir untuk berhijrah ke Serie A dengan menyertai Bologna.

Jika Daniel Schmidt menyertai Sint-Truidense, maka beliau akan menyertai penjaga gol dari rantau Asia yang lain seperti Kawin Thamsatchanan yang beraksi bersama OH Leuven.