Pemain tengah Felda United, Daniel Amier Norhisham berazam untuk terus membarisi pasukan senior negara pada masa akan datang setelah pulih daripada kecederaan keretakan pada kaki kanan yang memaksanya untuk berehat selama tiga bulan.

Bercakap kepada Harian Metro, pemain berusia 22 tahun itu kecewa kerana tidak mendapat tempat dalam skuad B-23 tahun negara susulan kecederaan yang dialami.

Oleh itu, Daniel mahu menampilkan aksi terbaik pada sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya ketika ini untuk memastikan namanya disenarai dalam kelompok 23 pemain untuk dibawa ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula 5 September ini.

Daniel Amier
Daniel Amier. Sumber Gambar: IB

“Alhamdulillah, kehadiran Boy diterima baik oleh rakan sepasukan terutama pemain senior yang banyak menolong Boy sejak bermulanya sesi latihan skuad kebangsaan, Ahad lalu.

“Selepas mendapat panggilan jurulatih Tan Cheng Hoe susulan prestasi cemerlang bersama FELDA United, jadi Boy mahu memberi persembahan lebih baik lagi bersama pasukan kebangsaan,” katanya.

Pemain yang mesra disapa Boy ini bakal bersaing dengan beberapa nama yang sudah sinonim dengan pasukan negara seperti Akram Mahinan, Syamer Kutty Abba, Nor Azam Azih serta pemain yang kembali dipanggil setelah lama menghilang seperti Brendan Gan bagi mengisi bahagian tengah pasukan negara.

Brendan Gan
Brendan Gan. Sumber Gambar: FAM

Nama Daniel Amier mula menjadi perhatian selepas beliau menjaringkan gol ketika Malaysia menewaskan Arab Saudi dengan keputusan 1-0 pada Kejuaraan B-23 AFC di China tahun lalu sekaligus membantu Malaysia mara hingga ke suku akhir untuk kali pertama dalam sejarah kejohanan.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe akan menggugurkan empat pemain daripada senarai 27 pemain ketika ini selepas perlawanan persahabatan menentang Jordan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat ini.