Pengurus Croatia, Zlatko Dalic menyedari cabaran sukar bakal dihadapi anak buahnya pada aksi suku akhir Piala Dunia 2022 apabila mereka dijadualkan bertemu juara lima kali, Brazil, Jumaat nanti.

Brazil turun selaku antara pilihan untuk muncul juara selepas membariskan skuad mantap dengan kehadiran Neymar, Vinicius Junior, Richarlison, Raphinha Thiago Silva, Alisson Becker dan ramai lagi.

Skuad kendalian Tite itu juga kelihatan cukup garang pada aksi pusingan 16 selepas dengan bergaya membenam Korea Selatan 4-1.

Bagaimanapun, reputasi hebat yang dimiliki Brazil itu tidak langsung menggerunkan Dalic kerana beliau yakin dengan kemampuan anak buahnya bagi menghadapi perlawanan tersebut.

“Brazil merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai saingan kali kini, mari kita hadapinya. Brazil merupakan skuad kebangsaaan yang terbaik dalam saingan Piala Dunia.”

 

“Apa yang saya saksikan setakat ini, apabila dilihat kepada pemilihan pemain, kualiti, kemahiran dan nilai pasukan, ia merupakan satu perkara yang amat menakutkan.”

“Saya merasakan ujian yang sangat hebat menanti, satu tugasan sukar berdepan pasukan yang bermain bola sepak dengan cukup hebat berbekalkan kepada ramai pemain berkualiti serta memiliki kepantasan.”

“Saya rasa tiada apa yang kami perlu takutkan. Kami perlu memasuki perlawanan dengan penuh rasa keyakinan, yakin kepada diri dan mencari peluang kami. Nikmati peluang bermain menentang Brazil. Itu sahaja.”

“Mereka adalah pasukan yang hebat tetapi saya percaya kami mampu untuk memberikan cabaran kepada mereka. Kami perlu menjadi lebih bijak,” ujar Zlatko Dalic menurut laporan FotMob.

Berdasarkan rekod, Croatia dan Brazil pernah bertembung dalam aksi peringkat kumpulan Piala Dunia 2006 dan 2014 dimana Brazil memenangi kedua-dua perlawanan tersebut dengan keputusan 1-0 dan 3-1.

 

Sumber