Presiden pasukan Glory United, Rohizan Abdullah menganggap dakwaan ada pasukan Liga M3 mengancam menarik diri hanyalah agenda individu tidak bertanggung jawab yang menggunakan pihak media untuk mencetuskan sensasi sahaja.

Ini kerana jelasnya, setiap pasukan sudah diberi penerangan dengan jelas dan pasukan sepatutnya sudah memahami menerusi taklimat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Kevin Ramalingam pada Rabu lalu.

Rohizan Abdullah
Sumber Gambar: Glory United

Apatah lagi, ini merupakan tahun pertama Liga M3 dipertandingkan dan adalah normal andai terdapat beberapa masalah di mana ia boleh diselesaikan secara baik bersama Amateur Football League (AFL) dan juga MFL.

Bahkan, beliau juga tidak tahu menahu pasukan manakah yang mengancam ingin menarik diri sambil menyifatkan dakwaan itu hanyalah pandangan peribadi sahaja.

“Setakat ini saya tak ada dengar pula apa-apa berhubung pasukan ingin ingin tarik dan saya rasa ini semua hanyalah mainan sesetengah media sahaja.

“Biasalah orang suka cerita-cerita sensasi seperti itu dan kadang-kadang masa di mesyuarat, wakil-wakil pasukan ini bercakap benda lain, tetapi apabila dengan pihak media, cerita benda sebaliknya pula dan berita seperti itu bagi saya hanya sebagai pandangan peribadi sahaja, tidak mewakili pasukan-pasukan lain pun.

“Tidak patut timbul isu seperti itu sebenarnya kerana setiap pasukan sepatutnya sudah faham mengenai perkara itu dan isu play-off ini saya berpendapat ia wajar dilakukan kerana bukan senang ingin layak ke liga profesional seperti Liga Premier”, jelasnya.

Fitri Ahmad Ziyadi
Sumber Gambar: MFL

Dalam perkembangan sama, pemilik Ultimate FC, Mohamed Fitri Ahmad Ziyadi menyifatkan ia dilihat sebagai satu propaganda atau hasutan untuk melaga-lagakan pihak MFL serta AFL dengan semua pasukan yang bertanding di M3.

Jelasnya, penerangan telah diberikan semasa perjumpaan tempoh hari mengenai isu play off dan menganggap perkara ini tidak sepatutnya menjadi satu isu.

“Bagi saya pasukan yang timbulkan isu ini mungkin mengambil pemain yang bergaji tinggi dan kini dalam kesukaran untuk membayar, maka alasan untuk menyalahkan MFL tidak begitu adil.

“Sebagai pasukan baharu bertaraf amatur, banyak perkara perlu dipelajari, maka semua pasukan termasuk Ultimate FC perlu setiap masa dapatkan maklumat yang betul jika ada sebarang masalah,” ujarnya.

Syaiful Hilmie
Sumber Gambar: MFL

Sementara itu, Pengurus JBFA, Syaiful Hailmie Abdullah turut senada dengan menegaskan, laporan negatif akan memberikan kesan tidak baik dalam pembinaan imej Liga M3 yang baharu bermula pada musim ini.

Lebih tepat, Syaiful menegaskan mana-mana pasukan sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan pihak MFL atau AFL.

“Ada sebab mengapa pihak MFL letakkan syarat bermain di peringkat play off terlebih dahulu dan jika menang, kemampuan kewangan akan dijadikan penilaian sebelum membenarkan pasukan ini beraksi di Liga Premier.

“Malah semua pasukan juga sebenarnya tidak digalakkan membayar gaji tinggi kepada pemain-pemain, cukup sekadar membayar elaun terlebih dahulu bagi tiap perlawanan yang dilalui di peringkat permulaan.

“MFL tidak mahu perkara-perkara lama sebelum ini berulang apabila ada pasukan menarik diri ketika bermain di peringkat profesional dan mahu semua pasukan terlebih dahulu belajar di peringkat amatur dalam soal pengurusan kewangan serta mampu berdikari dalam masa panjang,” katanya.