Penyerang skuad kebangsaan Jepun, Daizen Maeda semakin hampir untuk beraksi dalam saingan Liga Portugal musim hadapan apabila SC Maritimo menyuarakan hasrat untuk menandatangani pemain tersebut.

Daizen yang ketika ini beraksi bersama Matsumoto Yamaga dalam saingan J1 League membuat penampilan pertama bersama skuad senior Jepun dalam saingan Copa America 2019 yang berakhir pada awal bulan ini. Daizen tampil dalam dua perlawanan namun tidak berjaya membantu Jepun untuk melepasi peringkat kumpulan.

Selain Daizen, The Samurai Blue dibarisi oleh rata-rata pemain muda seperti Takefusa Kubo, Takehiro Tomiyasu, Ayase Ueda dan Hiroki Abe sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Olimpik yang akan berlangsung di laman sendiri pada tahun hadapan.

Daizen Maeda
Sumber Gambar: Goalzz.com

Sebelum ini, juara La Liga 2018/2019, FC Barcelona dikhabarkan berminat untuk menandatangani Maeda secara pinjaman setelah kagum dengan kebolehan serta kualiti yang dimililiki oleh pemain berusia 21 tahun itu. Selain menarik minat Barcelona, beberapa kelab Eropah yang lain termasuk SC Maritomo turut menyuarakan hasrat mereka untuk menandatangani Daizen.

Namun, Maritimo dilihat memenangi perlumbaan untuk mendapatkan tandatangan Daizen Maeda dan mereka kini sedang berada di fasa terakhir untuk melengkapkan perpindahan bekas pemain Mito Hollyhock itu.

Jika Maeda menyertai Maritimo, maka beliau akan menyertai rakan sepasukan ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Jepun, Shoya Nakajima dan pemain pertahanan, Kiko Anzai dimana kedua-dua pemain ini menyertai FC Porto dan Portimonense SC.