Perlawanan menentang Shandong Luneng dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 peringkat kumpulan E malam ini akan memberika cabaran yang berbeza buat pemain Johor Darul Ta’zim dimana mereka akan beraksi di bawah cuaca sejuk mencecah 12 darjah Celsius .

Namun, pemain tengah JDT, Nazmi Faiz Mansor berpendapat cuaca sejuk sedikitpun tidak melunturkan semangat beliau dan rakan sepasukan untuk cuba mencipta kejutan dengan menewaskan pasukan tuan rumah sekaligus mencipta kemenangan sulung dalam saingan edisi kali ini.

“Saya akan gunakan peluang ini untuk tunjukkan yang terbaik dan membantu pasukan mencatat kemenangan pertama dalam ACL.

“Biarpun cuaca sejuk tetapi keadaan di sini lebih baik berbanding di Jepun. Jadi saya fikir tiada masalah tentang cuaca.

“Saya sudah melakukan persiapan terbaik secara mental dan fizikal. Bagi pemain, perkara yang penting adalah rehat, tidur, minum yang cukup dan mengambil makanan sihat,” katanya menurut satu video yang diunggah di Facebook JOHOR Southern Tigers.

Setelah dua perlawanan, JDT kini menduduki tangga tercorot selepas mereka mengalami satu kekalahan dan mencatat satu keputusan seri. Lawan mereka pula kini berada di tangga kedua dengan catatan dua mata hasil daripada dua keputusan seri.

Shandong dijangka menurunkan barisan terkuat mereka dengan Graziano Pelle, Roger Guedes dan Marouane Fellaini akan diturunkan dalam kesebelasan utama. Tiga pemain ini merupakan ancaman utama kepada misi JDT untuk mencari tiga mata pertama dalam saingan ACL.

Namun, tidak mustahil untuk pasukan bimbingan Luciano Figueroa itu mencipta kejutan dimana mereka tampil dengan cemerlang ketika mengikat Gyeongnam FC di Larkin bulan lalu.