Jodoh legenda hidup bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo dan Manchester United akhirnya sampai ke penghujung apabila kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat untuk berpisah.

Berita mengenai pemergian Ronaldo secara persetujuan bersama itu disahkan oleh laman sesawang rasmi Manchester United, awal pagi tadi.

Keadaan yang menjadikannya kini sebagai ejen bebas dan perlu untuk mencari pasukan baharu bagi mengharungi sisa musim 2022/23.

Perkembangan tersebut bukanlah perkara yang mengejutkan kerana seperti diketahui Ronaldo telah mendedahkan secara terbuka rasa tidak puas hatinya sepanjang berada di kelab tersebut.

Beliau mengatakan dirinya telah dikhianati dan terdapat individu yang tidak mahu kehadirannya di Manchester United sejak daripada awal lagi.

“Cristiano Ronaldo akan meninggalkan Manchester United dengan persetujuan bersama, berkuat kuasa serta-merta.”

“Kelab ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan besarnya dalam dua musim di Old Trafford, menjaringkan 145 gol dalam 346 penampilan dan mendoakan yang terbaik buat dirinya dan keluarga untuk masa depan.”

“Semua orang di Manchester United kekal fokus untuk meneruskan kemajuan pasukan di bawah Erik ten Hag dan bekerjasama untuk memberikan kejayaan di atas padang.”

Kembali menyertai United pada 31 Ogos 2021, Ronaldo berjaya menjaringkan 24 gol pada musim pertama beliau tetapi segalanya jelas tidak seperti diharapkan selepas kehadiran Erik ten Hag membimbing The Red Devils.

Beliau lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan kemudiannya pelbagai cerita negatif melibatkannya seperti tindakan meninggalkan stadium sebelum perlawanan persahabatan bertemu Rayo Vallecano tamat.

Ronaldo kemudiannya enggan bersalaman dengan ten Hag sebaik sahaja aksi liga menentang Brentford tamat dimana mereka tumpas 0-4 pada perlawanan tersebut.

Perkara tersebut kelihatannya diulangi sekali lagi oleh pemain berusia 37 tahun itu apabila beliau dilihat melangkah masuk ke bilik persalinan ketika perlawanan dengan Tottenham Hotspur ketika aksi masih berbaki beberapa minit sehingga menyebabkan beliau diketepikan daripada skuad menentang Chelsea.