Ketua pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo mencipta satu lagi rekod dimana beliau menjadi pemain yang membuat penampilan terbanyak di peringkat antarabangsa dengan 197 penampilan setakat ini.

Portugal turun menentang Liechtenstein dalam kelayakan Euro 2024 pagi tadi dan pemain berusia 38 tahun itu diletakkan dalam kesebelasan utama, dimana kali terakhir beliau beraksi ialah ketika temasya Piala Dunia 2022 di Qatar.

Cristiano kemudiannya menjaringkan dua gol, satu gol menerusi menerusi sepakan penalti pada minit ke-51 dan kemudiannya menerusi sepakan percuma 12 minit kemudian setelah sebelumnya Joao Cancelo dan Bernardo Silva mencipta jaringan bagi pemenang UEFA Euro 2016 itu.

Sebelum perlawanan, Cristiano terikat dengan pemain Kuwait, Bader Al-Mutawa dengan 196 penampilan diikuti dengan legenda Malaysia, Datuk Soh Chin Aun yang berada di tempat ketiga dengan 195 penampilan.

Cristiano Ronaldo membuat penampilan antarabangsa pertama pada 2003 dan beliau menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia pada temasya di Qatar tahun lalu sebelum Portugal kalah kepada Maghribi di peringkat suku akhir.

Meskipun sudah mencecah usia 38 tahun, namun bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu memberi amaran bahawa beliau mahu terus beraksi.

“Saya mahu menjadi pemain paling banyak beraksi dalam sejarah. Itu akan membuatkan saya bangga. Bagaimanapun, ia tidak akan terhenti di sini sahaja, saya sentiasa mahu disenaraikan dengan kerap,” katanya.