Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) telah memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan baharu yang lebih ketat untuk kejohanan Copa Libertadores serta Copa Sudamericana bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Pemain bola sepak di seluruh negara Amerika Selatan kini tidak dibenarkan melakukan budaya cium bola yang sering dilakukan ketika berada di atas padang sebelum dan selepas perlawanan bermula.

Ianya termasuk meludah di kawasan perlawanan, pertukaran jersi dengan pemain selepas tamat perlawanan dan membuang hingus dari hidung untuk mengelakkan daripada dijangkiti wabak tersebut.

Demi melindungi kesihatan semua pemain dan jurulatih, CONMEBOL tidak dapat mengumumkan tarikh sebenar kejohanan Copa Libertadores dan Copa Sudamericana akan bersambung kerana beberapa negara masih mengalami peningkatan kes COVID-19 yang tinggi.

Selain itu, CONMEBOL juga mewajibkan semua pemain menjalani ujian saringan COVID-19 dan mana-mana pemain yang enggan membuat demikian tidak dibenarkan beraksi di atas padang.

Malah, kelab yang tidak mahu memberi kerjasama turut akan dikenakan hukuman berat.

CONMEBOL menjangkakan Copa Libertadores dan Copa Sudamericana yang ditangguhkan sejak bulan Mac lepas akan kembali bersambung pada bulan September namun ia bergantung kepada situasi semasa wabak pandemik.

Jika dua pertandingan itu dibenarkan berlangsung, semua pemain akan diperiksa suhu masing-masing sebelum perlawanan bermula dan pemain simpanan termasuk jurulatih diwajibkan memakai topeng muka.

Selain itu, pemain dan barisan jurulatih wajib menggunakan botol minuman sendiri dan sebarang temubual dengan pihak media hanya dilakukan untuk mereka yang memakai topeng muka sahaja.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak dunia melalui pautan dibawah. 

K League Cipta Rekod Lebih 3.4 Juta Penonton Di Media Sosial Pada Perlawanan Pertama

Penyokong Dortmund Diminta Jangan Berkumpul Luar Stadium Sempena Aksi Derbi

Misi Ke Piala Dunia 2022, China Bakal Diperkuatkan Enam Pemain Naturalisasi