Minggu lalu, badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) mengumumkan saingan Liga Malaysia musim 2020 yang ditangguhkan sejak bulan Mac akan bersambung semula pada bulan September ini selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, MFL merancang untuk meneruskan saingan liga dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang bakal diperkenalkan pada bulan depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata badan induk itu akan membuat rayuan kepada Majlis Keselamatan Nasional, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Belia & Sukan untuk membenarkan perlawanan bola sepak dilangsungkan.

“Kami hanya boleh hantar pada bulan depan. Ianya adalah perancangan untuk membenarkan pasukan memulakan sesi latihan pada bulan Ogos dan menghadapi perlawanan pada bulan September,” katanya dipetik dalam New Straits Times.

Pemotongan Gaji
Sumber Gambar: FAM

Bagi melindungi tahap kesihatan pemain dan pegawai pasukan, setiap perlawanan akan diadakan tanpa kehadiran penonton seperti Liga Korea dan Liga Jerman yang bersambung sejak minggu lepas.

Stuart turut menjelaskan FAM sudah kaji peraturan keselamatan yang diamalkan oleh liga tersebut namun menyifatkan SOP Liga Korea lebih realistik dan sesuai dilaksanakan dalam saingan Liga Malaysia.

“Kami belajar daripada negara-negara seperti Korea Selatan dan Jerman. Kami telah menghubungi mereka. Dan Vietnam juga. Vietnam bermula dengan kehadiran penonton, itu memang mengejutkan.

“Tapi kami sangat berhati-hati dan kami fokus untuk mengurangkan risiko dijangkiti wabak pandemik.

“Ketika bola sepak dari seluruh dunia mula kembali, kita melihat banyak sentimen positif (dalam rayuan FAM kepada Majlis Keselamatan Nasional). Tetapi pada masa yang sama, kita tidak dapat membuat penilaian berdasarkan sentimen saja.

“Lihat Perancis, Scotland, Belanda dan Belgium yang menghentikan liga mereka. Untuk liga yang telah disambung semula, maklumat mengenai SOP mereka telah dikongsikan kepada kami.

“Kos SOP Bundesliga (Jerman) sangat tinggi dan mahal sehingga hampir mustahil untuk kita melakukan perkara yang sama. Tetapi Korea punya sistem lebih dekat dengan kita, sangat praktikal, dapat disesuaikan dan lebih realistik,” jelasnya.

Semua pasukan dijangka memulakan sesi latihan pada bulan Ogos 2020 mengikut SOP kendalian latihan dan perlawanan Liga Malaysia yang akan dikeluarkan oleh FAM dan MFL berdasarkan arahan MKN, KKM dan KBS serta garis panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia 2020 yang dilaporkan sebelum ini melalui pautan dibawah. 

JDT, Pahang Dan Kedah Ke Asia Tahun Depan Jika Saingan Liga Malaysia 2020 Dibatalkan

TERKINI: MFL Rancang Untuk Meneruskan Saingan Liga Malaysia Pada Bulan September

MKN ‘Reject’ Permohonan FAM/MFL Untuk Sambung Liga Pada Bulan Julai 2020, Pelan C Jadi Kenyataan?