Penangguhan saingan Liga Malaysia pada musim ini akibat penularan wabak COVID-19 ternyata telah memberi kesan buruk dari segi kewangan semua pasukan Liga Super dan Liga Premier.

Wabak pandemik itu turut menyebabkan ekonomi negara telah terjejas sehingga memberi masalah kepada syarikat penaja untuk terus memberi penajaan kepada pasukan ditambah pula dengan ketiadaan sumber pendapatan dari segi kutipan tiket.

Namun, laporan daripada Arena Metro hari ini mendedahkan beberapa pasukan sedang menimbangkan untuk menamatkan kontrak pemain import lebih awal bagi menyelamatkan kantung kewangan masing-masing.

“Saya menjangkakan nasib pemain import di negara ini agak malang iaitu kemungkinan kontrak mereka tidak akan disambung lagi berikutan setiap pasukan mahu menjimatkan pembelanjaan masing-masing.

“Perkara terbabit tidak dapat dielakkan kerana lebih baik menggugurkan pemain untuk menjimatkan perbelanjaan daripada menanggung bebanan hutang hingga gaji tertunggak.

“Oleh itu, senario bola sepak negara bakal menyaksikan kekurangan pemain import terutama pada musim hadapan dan mungkin ada pasukan tidak menggunakan khidmat mereka bagi memulihkan kembali kantung masing-masing,” kata Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah.

EFFENDI JAGAN ABDULLAH/BSC
FOTO: NSTP/Osman Adnan

Kebanyakan pemain import pasukan Liga Malaysia dibayar gaji purata minimum kira-kira RM20,000 sebulan. Malah, ada juga yang menerima gaji paling tinggi mencecah RM100,000 sebulan.

Namun mengikut perancangan baharu Malaysia Football League (MFL), tiada tempoh perpindahan pemain dibuka pada pertengahan Liga Malaysia 2020 jika saingan bermula pada bulan September.

Saingan Liga Malaysia 2020 akan dibatalkan jika Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak membenarkan perlawanan bersambung semula sehingga September 2020.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia 2020 yang dilaporkan sebelum ini melalui pautan dibawah. 

SOP Baharu Liga Malaysia 2020 Akan Diumumkan Pada Bulan Depan

JDT, Pahang Dan Kedah Ke Asia Tahun Depan Jika Saingan Liga Malaysia 2020 Dibatalkan

MKN ‘Reject’ Permohonan FAM/MFL Untuk Sambung Liga Pada Bulan Julai 2020, Pelan C Jadi Kenyataan?