Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memberi bayangan saingan Liga Malaysia musim 2020 yang ditangguhkan sejak bulan lalu kerana wabak COVID-19 akan bersambung semula selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, ia akan diteruskan dengan Standard Operating Procedure (SOP) baharu yang bakal diperkenalkan oleh badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) dalam masa terdekat.

Perkembangan itu didedahkan melalui kenyataan Stuart dalam laporan daripada Bernama sambil menjelaskan FAM dan MFL tidak mempunyai perancangan untuk membatalkan semua pertandingan dibawah kelolaan mereka musim ini.

Antara pematuhan yang bakal dikenakan kepada semua pasukan ialah memastikan pemain dan jurulatih telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan wajib disahkan negatif sebelum beraksi di atas padang.

“Kami telah hubungi semua anggota gabungan kami, mereka tahu kami telah bersedia dan mereka tahu kami mempunyai opsyen. Semuanya sudah bersedia tetapi seperti kebanyakan negara dan liga dunia, mereka tidak boleh nyatakan dengan tepat bila ia (saingan bola sepak) akan bersambung, mereka hanya boleh beritahu anda bila mereka mahu mulakan.

“Kami telah bersedia dari segi penjadualan dan SOP apa yang perlu dilakukan termasuk pemain dan pegawai perlu jalani ujian COVID-19 dan mengisytiharkan mereka tidak mempunyai kontak rapat dengan mereka yang dijangkiti COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Saingan Liga Malaysia kemungkinan akan bersambung pada bulan Jun, Julai atau Ogos bergantung kepada kebenaran daripada kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Berdasarkan perbincangan, kami juga telah sedia dengan jadual perjalanan liga jika ia disambung pada Jun, Julai ataupun Ogos. Tetapi perincian mengenai itu lebih baik MFL yang komen,” jelas Stuart.

“Kami faham sekarang bukan masa yang tepat untuk berbincang dengan kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) mengenai bola sepak, pada masa ini mereka mempunyai masalah negara untuk ditangani (COVID-19). Jadi bila saatnya tiba untuk kami berbincang kami bersedia dan saya pasti mereka akan lebih mengetahuinya pada masa itu untuk memaklumkan kepada kami apakah SOP yang betul,” tambah Stuart.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Sean Selvaraj Derma Sebahagian Gaji Kepada 14 Keluarga

Ivan Carlos Tingkat Kefahaman Taktikal Melalui Permainan Video Sepanjang PKP

Luqman Hakim Tumpu Aksi Bersama Selangor Sebelum Ke Eropah