Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) dijangka akan mengumumkan penangguhan saingan liga domestik, A-League pada hari esok susulan penyebaran wabak Coronavirus (COVID-19) di seluruh dunia.

FFA sebelum ini memutuskan saingan A-League yang masih mempunyai baki enam perlawanan dijalankan tanpa penonton walaupun dua daripada 11 pasukan yang bertanding terpaksa menjalani kuarantin.

FFA juga telah memanggil semua pemilik kelab dalam satu mesyuarat tergempar pagi ini bagi membincangkan mengenai status perjalanan A-League. Bagaimanapun, perlawanan Newcastle Jets menentang Melbourne City akan diteruskan seperti biasa di Stadium McDonald Jones pada malam ini.

Ketua liga FFA Greg O’Rourke berkata mereka tetap mengikut arahan kerajaan dan nasihat pakar perubatan dalam memastikan kesihatan dan kebajikan mereka yang terbabit.

“Kami faham ini adalah waktu yang sukar buat semua orang.

“Kami sentiasa meletakkan kesihatan, kebajikan dan keselamatan pemain-pemain, jurulatih, pegawai perlawanan, sukarelawan, pentadbir dan peminat sebagai keutamaan dalam proses membuat keputusan,” kata O’Rourke.

Kerajaan Australia sudah menutup sempadan mereka kepada pendatang asing sejak Jumaat lalu selepas 1,000 kes dicatat di negara itu.

Selain A-League, wabak COVID-19 turut menjejaskan perjalanan liga terkemuka Asia seperti J-League, K-League, China Super League, Thai League dan juga Liga Malaysia sendiri. Saingan kelayakan Piala Dunia 2022 turut menerima tempiasnya dan telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Baca artikel lain berkaitan dengan penularan wabak coronavirus sehingga menjejaskan aktiviti bola sepak. 

Liga Malaysia Mungkin Ditangguhkan Sehingga Bulan Jun Jika Kes COVID-19 Bertambah

Pemain Tengah Shandong Luneng, Marouane Fellaini Disahkan Positif COVID-19

Presiden FA Thailand Salur Dana RM1.35 Juta Bantu Kerajaan Tangani COVID-19, Cetus Rasa Tidak Puas Hati Netizen