Prestasi menghampakan Barcelona musim ini diteruskan dengan berita tersingkirnya juara bertahan tersebut daripada pusingan 16 akhir Copa Del Rey.

Ini selepas Barcelona tunduk kepada Athletic Bilbao dengan jaringan 3-2 – selepas masa ekstra – di San Mames.

Perlawanan berlangsung sengit antara kedua dua pasukan. Pertahanan Barcelona yang agak ‘berusia’ sukar untuk berdepan dengan kelajuan dan kelincahan Nico Williams.

Walaupun mereka berjaya bangkit dua kali daripada ketinggalan, namun penalti lewat oleh Iker Muniain memastikan Athletic Bilbao mara ke suku akhir.

Perlawanan bermula dengan jaringan awal dicipta oleh Athletic Bilbao dengan gol pada minit ke-2.

Namun gol itu berjaya disamakan oleh penyerang baharu Barcelona iaitu Ferran Torres pada minit ke-20. Torres menerima bola daripada Busquets dan menembak ke sudut jauh tiang gol lawan. Membuatkan Julen Agirrezabala tidak berdaya mahu menghalangnya.

Ianya adalah gol sulung Ferran Torres untuk kelab barunya, Barcelona selepas melakukan perpindahan dari City pada jendela perpindahan baru baru ini.

Barcelona sukar mencipta peluang sepanjang perlawanan. Di mana lawan mereka menggempur kubu mereka dengan 19 percubaan ke arah gol, berbanding hanya 7 untuk Barca.

Selepas berkali kali mencipta masalah di hadapan gol Barca, pada minit ke-86, Inigo Martinez menewaskan Ter Stegen selepas penjaga gol itu menafikan tandukan Alex Berenguer. Marc-Andre ter Stegen ternyata tidak mampu menghalang tindakan susulan daripada Inigo Martinez tersebut.

Ketika Athletic Bilbao sudah berkira kira untuk meraikan kemenangan mereka, Barca berjaya membalas pada lewat masa kecederaan menerusi Pedri.

Perlawanan diheret ke masa ekstra. Pasukan pelawat kemudian memberikan penalti selepas bola terkena tangan Jordi Alba.

Iker Muniain tenang menewaskan Ter Stegen.

Kekalahan itu diburukkan lagi dengan berita kecederaan Ansu Fati yang menangis ketika dikeluarkan pada minit ke-96. Ini tamparan hebat buat Barca yang sudah mengesahkan bahawa mereka tidak akan menggunakan Dembele lagi.

Barcelona kini masih berjuang dalam usaha mereka mahu layak ke UCL pada musim hadapan. Dengan Barca kini berada di tangga keenam pada carta liga.