Bekas pengadil Liga Perdana Inggeris, Mark Clattenburg menggelar Jurgen Klopp sebagai manusia hipokrit kerana dia mengatakan Manchester United sering mendapat penalti.

Klopp menyebut jumlah penalti untuk The Red Devils setelah Liverpool tewas kepada Southampton dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris sebelum ini.

Pengurus dari Jerman itu merasakan pasukannya seharusnya menerima dua penalti dalam perlawanan tersebut namun tidak mendapatnya.

Jurgen Klopp ternyata tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dalam aksi Southampton bertemu Liverpool. Dan tiba tiba pengendali dari Jerman itu memetik jumlah penalti yang diberikan kepada United berbanding Liverpool.

Liverpool dinafikan dua penalti oleh pengadil dalam perlawanan yang menyaksikan The Reds kalah tipis 1-0 di St Mary. Bekas penyerang Liverpool, Danny Ings menjaringkan gol awal perlawanan yang membuatkan The Reds pulang hampa.

Klopp berkata: “Sangat mengecewakan. Kita tidak bagus dalam membuat beberapa keputusan malam ini, itu adalah hantaran yang terakhir [merujuk kepada hantaran terakhir Liverpool sebelum wisel penamat]. Salah kami, dan saya bertanggungjawab.”

Ditanya tentang VAR, Klopp membidas pengadil dengan berkata: “Jelas sekali itu adalah penalti. Saya pergi ke arah pegawai keempat perlawanan sama ada insiden itu sudah diperiksa?”

“Dia kata, ya mereka sudah periksa dan itu bukan penalti.”

“Apa yang telah Andre Mariner lakukan ke atas Sadio Mane malam ini, saya tak pasti jika itu ok. Man United ada lebih banyak penalti dalam dua tahun terakhir ini berbanding yang saya dapat dalam 5 tahun setengah di sini.”

“Namun tidak ada alasan untuk kekalahan malam ini.”

Solskjaer menggantikan Jose Mourinho pada Disember 2018. Sejak itu, United telah menerima 42 penalti berbanding 19 untuk Liverpool dalam semua pertandingan.

Namun, Clattenburg menegaskan bahawa pegawai perlawanan tidak pernah berpihak kepada Man United.

“Mari kita jelas dengan perkara ini: tidak ada konspirasi dari pihak pengadil dan pegawai,” tulis Clattenburg dalam lajur di Mail Online.

Beberapa pemain Manchester United sering dituduh jatuh dengan mudah ke dalam kotak penalti. Clattenburg menganggap perkara yang sama dilakukan oleh pemain Liverpool.

“Tetapi jika dia merasakan beberapa pemain United dengan mudah jatuh di kawasan penalti, ya, saya percaya dia membuat hujah yang sah. Walaupun itu adalah mengabaikan kecurigaan serupa tentang beberapa bintangnya,” tambah beliau lagi.

“Kedengaran seperti Klopp seorang hipokrit jika dia menyatakan bahawa pemain United sengaja mencari penalti. Seperti Mo Salah dan Sadio Mane, turut berpotensi menggunakan taktikal yang sama.”

Klopp guna taktik Ferguson

Tetapi Mark Clattenburg kemudian membuat kejutan apabila mengungkit pendekatan Klopp dengan mengaitkannya dengan taktik Alex Ferguson pada satu ketika dahulu yang cuba mempegaruhi dan menyukarkan pengadil menjelang aksi perlawanan besar.

“Klopp adalah silap jika merasakan ada aura daripada Man United untuk mereka mempengaruhi keputusan pengadil.”

“Ianya berlaku pada era Ferguson dahulu, namun tugasan pengadil lebih mudah sejak Fergie meninggalkan United.”

“Jelas sekali Klopp semakin tertekan, kerana tiada pengurus sejak era Fergie yang menggunakan pendekatan serupa cuba mempengaruhi pengadil menjelang perlawanan besar.”

“Klopp tidak melakukan perkara ini musim lepas ketika mereka menang setiap minggu.”

Baca juga perkembangan lain

Zidane Tak Tahu Pun Jovic Dah Nak Pindah Balik Kelab Lama

DFB Pokal: Skuad Serba Bintang Bayern Disingkirkan Pasukan Bawahan

Ole: ‘Masa Tepat Untuk Menentang Liverpool Di Anfield’