Hasrat pemilik Manchester City, City Football Group (CFG) untuk membeli kelab Liga Thailand kini memasuki babak baru apabila bekas juara Thai League 1, Muangthong United dikaitkan dengan pengambilalihan oleh badan tersebut.

Muangthong United ketika ini dimiliki oleh syarikat pembekal simen, Siam Cement Group (SCG) dan Siam Sports Syndicate yang juga menjadi penaja kepada kelab yang beraksi dalam saingan V League, Hanoi FC.

Kelab yang dijuluki The Kirins itu berada dalam prestasi yang tidak konsisten dalam saingan Thai League 1 musim ini dimana mereka menghuni tangga ke-12 dengan hanya mengutip 20 mata setakat minggu perlawanan ke-17.

Sebelumnya, Muangthong menghuni zon penyingkiran namun setelah membawa masuk ketua jurulatih baharu, Alexander Gama, mereka berjaya kembali meraih kemenangan sekaligus memperbaiki kedudukan dalam carta Liga.

Meskipun berada dalam prestasi tidak menentu, namun perkara tersebut tidak menghalang daripada CFG untuk mengambil alih Muangthong dimana perbincangan antara kedua belah pihak telahpun dijalankan. Pihak Muangthong sendiri tidak menafikan mengenai berita pengambilalihan oleh CFG.

Muangthong United
Sumber Gambar: Muangthong United

“Satu perkara yang normal apabila kelab seperti Manchester City yang sudahpun terkenal mahu mengembangkan sayap mereka ke pasaran Thailand. Sama ada mereka mahu membeli Muangthong ataupun kelab lain, itu kita harus tunggu,” kata Pengarah Pasukan, Ronnarit Suewaja seperti yang dilaporkan oleh Foxsport Asia.

Selain memiliki Manchester City, CFG turut memiliki kelab seperti New York City FC dalam saingan Major League Soccer (MLS), Melbourne City FC dalam saingan A-League dan Girona FC dalam saingan La Liga.

CFG turut menjadi pemilik bersama kelab J League, Yokohama F. Marinos dimana pemain skuad kebangsaan Thailand, Theerathon Bunmathan sedang beraksi bersama kelab tersebut.