Selepas ditangguhkan hampir 6 bulan akibat penularan wabak COVID-19, saingan CIMB Liga Super 2020 kembali bersambung semalam bermula dengan perlawanan tertunda yang melibatkan pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City) menentang Terengganu FC (TFC).

Dalam perlawanan yang berlangsung tanpa kehadiran penonton di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya itu menyaksikan skuad TFC menguasai perlawanan dan kerap memberi ancaman berbahaya melalui gerakan penyerang import mereka.

Penyerang import TFC dari Mauritania, Dominique Da Sylva sering memberi masalah kepada benteng pertahanan lawan dan berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke 31 hasil daripada larian pantas.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama apabila skuad PJ City dilihat agak buntu mencari jaringan penyamaan.

Da Sylva sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke 73 melalui  jaringan ‘chip’ yang mudah menewaskan penjaga gol PJ City. Ini adalah gol keenam beliau selepas 4 perlawanan Liga Super sekaligus muncul sebagai penjaring terbanyak setakat ini.

Kemenangan 2-0 itu turut meletakkan skuad kendalian Nafuzi Zain dalam kedudukan ketiga teratas Liga Super dengan 7 mata di belakang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 10 mata dan Perak 8 mata.

Sementara itu, PJ City kekal di tangga ke-10 dengan empat mata selepas mencatat satu kemenangan dan satu keputusan seri. Enam lagi aksi Liga Super akan kembali bersambung pada minggu depan setelah mendapat kebenaran rasmi daripada kerajaan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Bayar RM13 Juta Jika Anda Mahu Membeli Pasukan Kuala Lumpur

Logo Baru Kelab Melaka United FC ‘Kantoi’ Diubahsuai, Logo Asal Milik Syarikat Bare Blends Dari Australia?

“Jika Proses Penswastaan Pasukan Liga Malaysia Gagal Dilaksanakan, Perlesenan FAM Tidak Diiktiraf Oleh AFC.” – Dato’ Windsor John