Setelah tewas dalam 2 perlawanan sejak saingan CIMB Liga Super kembali bersambung, Pahang akhirnya berjaya mengutip 3 mata berharga untuk mencerahkan peluang merebut kedudukan 5 teratas liga.

Kemenangan 2-1 ke atas PDRM di Stadium Darul Makmur semalam turut memberi semangat tambahan kepada skuad Tok Gajah untuk terus memburu kemenangan dalam pertemuan menentang FELDA United minggu depan.

Dalam perlawanan itu, Pahang mempertaruhkan gandingan pemain muda tanpa khidmat penyerang import, Dickson Nwakaeme yang mengalami kecederaan.

Sejak pengadil wisel sepak mula, beberapa percubaan berbahaya telah dilakukan oleh Tok Gajah menerusi gandingan Faisal Halim dan Ivan Carlos tetapi pertahanan kental PDRM menafikan tuan rumah untuk mendapatkan gol pendahuluan.

Pada minit ke-36, penyerang import dari Brazil, Ivan Carlos tidak mempersiakan peluang meletakkan Pahang mendahului 1-0 hasil sepakan percuma yang cantik.

Pada separuh masa kedua, skuad Tok Gajah terus memberi tekanan kepada The Cops apabila Mohd Faisal Abdul Halim menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada minit ke-73 setelah menerima hantaran cantik daripada Azam Azih.

Pada minit ke-84, PDRM merapatkan jurang 1-2 hasil jaringan sendiri pemain tengah tuan rumah, Adam Reed.

Mengulas mengenai keputusan itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh berpuas hati dengan prestasi beberapa pemain muda yang diturunkan dalam perlawanan itu cuma mereka kalah dari segi pengalaman.

Bagaimanapun, beliau turut risau dengan kecederaan yang dialami oleh tonggak import seperti Herold Goulon dan Ivan Carlos.

“Kita masih lagi bermain tidak seperti yang saya harapkan, tapi walaubagaimanapun, kemenangan malam ni sebenarnya boleh bagi suntikan pada pasukan untuk lebih bangkit lagi.

“Cuma saya rasa risau dengan kecederaan. Carlos dan Goulon, begitu juga dengan Dickson. Itu yang saya khuatirkan tapi alhamdulillah, pemain-pemain tempatan, budak-budak muda, pada mlm ni masih lagi dapat menunjukkan prestasi yang baik, cuma pengalaman, kita kalah kat situ,” katanya selepas perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

TMJ: 1 Atau 2 Penalti Untuk Terengganu Dan 1 Kad Merah Untuk Dominic Silva, Pengadil Gagal Kawal Perlawanan Dengan Baik

Tengku Muda Pahang: Kami Akan Bawa Kes Sumareh Ke AFC Dan FIFA

Satiananthan Kecewa Selangor Gagal Manfaatkan Peluang Di Halaman Sendiri