Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony mengesahkan skuad Tambadau bakal berdepan Pahang dalam saingan CIMB Liga Super malam ini tanpa khidmat seorang pemain import kacukan Jerman-Thailand, Dennis Buschening.

Pengendali skuad itu, Kurniawan Dwi Yulianto dijangka akan mengekalkan barisan yang sama ketika mencatat kemenangan 3-1 ke atas Felda United di Stadium Likas pada hari sabtu lepas.

“Saya dimaklumkan kita hanya diperkuatkan dengan empat import kerana seorang lagi import, Dennis Buschening masih dibelenggu kecederaan dan tidak tersenarai dalam 18 pemain yang di bawa ke Pahang.

“Perlawanan-perlawanan sebelum ini menunjukkan Tambadau Sabah kita memiliki pemain seimbang dalam kesebelasan utama dan dibangku simpanan. Ia terpulang kepada jurulatih apa percaturan dan siapa kombinasi pemain sesuai untuk melaksanakannya,” kata Peter dipetik dalam Utusan Borneo.

88301393_2553239881597285_771160037967003648_n
FOTO: The Rhinos Troops

Peter Turut memuji aksi pasukan Sabah ketika menewaskan Felda United dan menuntut mereka meneruskan prestasi yang konsisten dalam perlawanan menentang Pahang.

“Mereka telah mempamerkan aksi yang boleh menghasilkan kemenangan dengan menumbangkan Felda United 3-1 di Stadium Likas, Sabtu lalu. Ia adalah satu suntikan semangat dan keyakinan buat pasukan.

“Saya harap dapat melihat aksi sama atau yang lebih baik dari itu dalam pertemuan menentang Pahang esok. Ia bukan tugas mudah kerana harus diingat bahawa Pahang adalah antara pasukan gergasi negara dan merupakan naib juara Liga Super musim lalu,” jelasnya.

Meskipun Pahang gagal mengutip sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan, Peter masih menganggap skuad tok gajah sebuah pasukan yang berbahaya dan menuntut pemain fokus 100% di atas padang.

“Apapun, kita tidak perlu memikirkan sangat tentang lawan sebaliknya perlu fokus kepada diri sendiri. Kita hormati Pahang sebagaimana lawan lain tetapi saya juga yakin Tambadau Sabah kita ada kemampuan memberi saingan sengit,” kata Peter.

Lihat artikel mengenai perkembangan pasukan Sabah melalui pautan dibawah.

Stadium Likas Bertukar Jadi ‘Perpustakaan’, Ketuk Tong Gelen Pun Tidak Dibenarkan

Sabah Sasar Satu Piala Pada Saingan Liga Malaysia Musim 2020