Dua kekalahan dalam dua perlawanan awal CIMB Liga Super 2020 bukanlah permulaan yang baik bagi naib juara Liga Super 2019 iaitu Pahang kerana ia bakal menjejaskan peluang mereka untuk memburu kedudukan 5 teratas musim ini.

Pahang kini berada di kedudukan kedua terbawah setelah tewas 1-2 kepada Selangor dan 2-3 kepada PJ City di Shah Alam pada hari jumaat lalu.

Justeru itu, pemain sayap skuad tok gajah, Muhammad Gopi Rizqi menuntut rakan sepasukannya bangkit dalam perlawanan ketiga menentang Sabah di Stadium Darul Makmur pada hari esok sekaligus mengembalikan semula keyakinan para penyokong.

“Sudah semestinya kami kecewa kerana kekalahan kepada PJ City FC dan Selangor disebabkan kegagalan mengekalkan fokus di penghujung perlawanan.

“Mahu atau tidak kami perlu menang pada perlawanan ketiga bagi menyuntik semangat dan keyakinan iaitu kembali berada pada prestasi lebih baik.

“Sebenarnya kami bermain dengan baik dalam dua perlawanan dan turut memiliki peluang untuk mengutip mata. Tapi, kegagalan menyerap asakan lawan menyebabkan misi melakar kemenangan gagal direalisasikan.

“Namun, kami tidak boleh berdiam diri dan perlu mengambil pengajaran dua perlawanan itu untuk tampil lebih kemas apabila berdepan Sabah, Selasa ini,” katanya seperti dipetik dalam Arena Metro.

88025943_2906934086033933_7835819252006256640_o (1)
Aksi Gopi ketika menentang Selangor. FOTO: Pahang FA

Sementara itu, bekas pemain Pahang, Jalaluddin Jaafar menyifatkan skuad tok gajah masih dalam proses untuk memupuk keserasian dengan beberapa pemain baharu yang berada kesebelasan utama.

Beliau yakin, prestasi pahang akan meningkat setelah mengharungi 2 hingga 3 perlawanan liga.

“Di posisi penjaga gol sebelum ini Tok Gajah memberi sepenuh kepercayaan kepada Helmi Eliza Elias yang begitu serasi dengan benteng pertahanan namun musim ini tugas berkenaan diserahkan kepada Sharbinee Allawee, faktor berkenaan juga boleh mengundang kepada kegagalan pasukan.

“Saya yakin kemasukan tiga pemain import baharu Ivan Carlos, Khalid Khamis dan Adam Reed menjejaskan rentak pasukan, prestasi mereka mungkin melonjak selepas mengharungi beberapa perlawanan lagi.

“Saya berharap misi memburu kemenangan pertama dapat diterjemahkan pada perlawanan ketiga Liga Super bertemu Sabah, Selasa ini di gelanggang sendiri. Pemain perlu buktikan kemampuan masing-masing sekiranya tidak ingin terus di kritik oleh peminat.

“Jurulatih (Dollah) pasti berusaha membaiki kelemahan dibahagian tengah dan pertahanan supaya tidak mudah lawan mengambil kesempatan,” katanya.

Lihat artikel lain mengenai perkembangan skuad Pahang melalui pautan dibawah.

Pahang FA Pasukan Pertama Liga Super Mempunyai Aplikasi Mudah Alih

Pahang FA Tampil Dengan Jersi Baharu Yang Lebih Menawan

Jamal Nasir Yakin Pahang Ada Pengganti Matthew Davies Yang Lebih Baik

Sumber