Hasrat skuad Tok Gajah untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pertama CIMB Liga Super 2020 di Stadium Darul Makmur semalam tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas 1-2 kepada Selangor.

Dalam perlawanan itu, Pahang turun tanpa khidmat pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh serta mengubah posisi S. Kumahraan daripada penyerang kepada pertahanan kanan bagi menggantikan tempat Matthew Davies yang menyertai JDT.

Sejak dari awal, skuad kendalian Dollah Salleh itu menguasai perlawanan dan memperolehi dua peluang keemasan melalui Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos namun rembatan mereka berjaya dihalang oleh benteng pertahanan Selangor.

Pada minit ke 20, Stadium Darul Makmur bergegar dengan sorakan tuan rumah apabila Ivan Carlos menyudahkan hantaran cantik Gopi Rizki dari sebelah kiri untuk gol pertama Pahang.

Jaringan tersebut membangkitkan semangat skuad Tok Gajah yang dibarisi oleh beberapa pemain import baharu dan pemain muda untuk terus melancarkan serangan ke kubu lawan.

Namun, kegembiraan penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila penyerang import Selangor, Ifedayo Omosuyi berjaya menyamakan kedudukan selepas memperdayakan pemain pertahanan Pahang lalu melepaskan rembatan dalam kotak penalti.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Separuh masa kedua menyaksikan deretan peluang di hadapan pintu gol gagal disudahkan oleh rangkaian serangan Pahang dan ada kalanya tersasar.

Tersentak dengan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah, pengendali Selangor, B. Satiananthan membuat keputusan untuk menurunkan penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia pada minit ke 66 menggantikan Syazwan Zainon.

Percaturan Satiananthan itu akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran Rufino berjaya menemui Brendan Gan yang tidak dikawal lalu melepaskan rembatan kencang untuk memberikan gol kemenangan buat Selangor pada minit ke-88.

Pada minit ke 91, rembatan voli dari luar kotak penalti oleh Dickson Nwakaeme hampir memberikan jaringan penyamaan buat Pahang namun bola tersebut terkena palang lalu mengecewakan ribuan penyokong Tok Gajah.

Kemenangan Selangor juga bermakna rekod tanpa kalah Pahang di Stadium Darul Makmur sejak musim 2019 akhirnya lebur.

Lihat artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim 2020 melalui pautan dibawah.

Sony Norde Mahu Pastikan Melaka United Raih Kedudukan Tiga Teratas CIMB Liga Super 2020

FAM Sahkan Pasukan PDRM Terlepas Hukuman Pemotongan 6 Mata, Pelan Penyelesaian Berjaya Dipersetujui

Piala Sumbangsih 2020: Mauricio Nascimento Enggan Dilabel Sebagai Wira