Kelab divisyen dua Liga Korea, Chungbuk Cheongju berkongsi perkembangan terkini mengenai pemain pasukan negara iaitu R.Kogileswaran.

Menerusi perkongsian di laman media sosial Instagram pasukan, R.Kogileswaran sudah mula menjalani sesi letihan bersama rakan sepasukan di Chungbuk Cheongju.

Menurut caption yang digunakan oleh kelab, Kogi sedang menyesuaikan diri dengan hidup di Korea selain bersama rakan sepasukan dan bukannya mengalami kecederaan.

Sebelum ini, Kogi menjelaskan nasihat daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon merupakan antara faktor utama yang mendorongnya membuat keputusan untuk berkelana ke Korea Selatan.

Bekas pemain PJ City itu turut menjadikan sepupunya, Titus James Palani sebagai inspirasi untuk mengikut jejak langkah beraksi di luar negara. Titus sebelum ini pernah menyertai beberapa kelab divisyen bawahan di Perancis.

“Ini adalah detik yang paling gembira dalam hidup saya. Sejak kecil, saya selalu menyimpan impian untuk beraksi di luar negara seperti Titus dan akhirnya ia jadi kenyataan.

“Sebelum menandatangani kontrak dengan Chungbuk, saya telah bercakap dengan ‘coach Kim’ mengenai perpindahan ini. Dia telah memberikan nasihat yang berguna dan juga tumpang gembira. Dia juga sempat menghubungi saya sebelum berangkat ke Korea Selatan.

“Saya mahu berterima kasih kepada coach Kim atas nasihatnya, ia sangat bermakna untuk saya. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pembantu pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin dan juga Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin. Kedua-duanya telah memberi sokongan penuh,” katanya.

Kogi menjadi pemain kedua dari rantau Asia Tenggara dalam saingan K2 dimana sebelumnya ketua pasukan skuad kebangsaan Indonesia, Asnawi Mangkualam beraksi bersama Jeonnam Dragons.