Pengendali dari Perancis, Christophe Gamel akan terus berada di Malaysia untuk mencari peluang pekerjaan sebagai jurulatih selepas khidmatnya tidak diperlukan dalam pasukan Sri Pahang.

Menurut kenyataannya dalam Utusan Malaysia, beliau kini sedang intai peluang untuk mengisi jawatan Ketua Jurulatih skuad bawah 23 tahun Malaysia (B-23) bagi menggantikan tempat Brad Maloney yang telah ditamatkan kontrak minggu lalu.

“Saya akan terus mencari peluang di Malaysia dan berharap mendapat pasukan yang mana saya boleh bertanggungjawab dalam hal-hal seperti pengambilan dan mengembangkan kelab.

“Saya melihat skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara ada kekoso­ngan, ia juga merupakan cabaran yang baik untuk karier saya,” ­katanya kepada Mingguan ­Malaysia.

Gamel menjadi pembantu jurulatih ketika bersama pasukan wanita Paris Saint Germain (PSG).

Gamel yang mempunyai lesen kejurulatihan UEFA Pro mempunyai pengalaman melatih pasukan kebangsaan Qatar B-19 dan juga kelab Perancis, CS Meaux B-19 selain menjadi pengendali pasukan kebangsaan Fiji selama 4 tahun.

Bola sepak asia bukanlah asing bagi beliau kerana pernah menjadi pembantu jurulatih kelab Qatar, Al-Rayyan SC sehingga muncul sebagai juara Piala Qatar Emir dan juara Piala Putera Raja Qatar pada musim 2010 hingga 2012.

Ketika bersama Sri Pahang pada musim 2021, beliau turut melatih pasukan Piala Presiden sebelum dinaikkan pangkat ganti tempat Thomas Dooley.

Bagaimanapun, rekod beliau bersama Tok Gajah pada musim ini tidak begitu memuaskan. Sepanjang dibawah bimbingannya, Sri Pahang gagal mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan apabila hanya mencatat 2 kemenangan dalam 11 perlawanan Liga Super.

Walaupun sudah melakukan perubahan dari segi pertukaran pemain import pada jendela perpindahan kedua, Sri Pahang masih lagi kempunan mengutip sebarang mata apabila tewas dalam 3 perlawanan berturut-turut menentang Sabah (1-2), Negeri Sembilan (0-3) dan Terengganu (1-2).

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

MFL Terpaksa Rombak Jadual Perlawanan Liga Malaysia

Tan Cheng Hoe Nafi Sertai Selangor

Liga Super 2022: Forestieri Muncul Wira JDT Tewaskan Sabah Di Saat Akhir