Kelab Bola Sepak Sri Pahang (SRP) hari ini mengumumkan pengendali dari Perancis, Christophe Gamel sebagai Ketua Jurulatih baharu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Beliau mengambil alih tugas Dollah Salleh untuk membentuk barisan yang mantap dan membawa skuad tok gajah kembali menjadi pasukan yang digeruni setelah mengalami kemorosotan prestasi pada musim 2021.

Jurulatih yang berusia 49 tahun itu sempat membimbing skuad Piala Presiden Pahang pada tahun lepas dan mula memahami budaya bola sepak tempatan sepanjang berada di Malaysia.

Gamel sebelum ini pernah mengendalikan pasukan kebangsaan Fiji selama 4 tahun dan skuad kebangsaan Qatar bawah 18 tahun. Pada tahun 2019, beliau menjadi pengurus kelab divisyen 2 Belgium, K.S.V. Roeselare.

Bola sepak asia bukanlah asing bagi Gamel kerana pernah menjadi pembantu jurulatih kelab Qatar, Al-Rayyan SC sehingga muncul sebagai juara Piala Qatar Emir dan juara Piala Putera Raja Qatar pada musim 2010 hingga 2012.

Pengalaman luas di peringkat antarabangsa yang dimiliki oleh Gamel menjadi taruhan Sri Pahang untuk memperbaiki corak permainan pada musim ini dengan pembentukan pemain baharu sambil memburu pelbagai kejayaan.

Menurut Lembaga Pengarah Sri Pahang FC, pihak pengurusan dengan restu dari Tuanku Presiden yakin Christophe Gamel adalah individu tepat untuk membimbing dan mengembalikan prestasi pasukan ini ke tahap yang sepatutnya.

“Kita telah membuat penilaian yang mendalam, mendapati kehadiran beliau cukup disenangi pemain-pemain muda di dalam kelab yang akan menjadi antara tunjang utama pasukan bagi musim baru.

“Beliau juga berpengalaman membimbing dan mengetengahkan ramai pemain-pemain muda di Perancis dan Qatar selain mengambil keputusan berani untuk menguji kredibilitinya dengan membimbing pasukan kebangsaan Fiji pada 2016.

“Ianya cukup jelas setelah perbincangan antara kedua-dua pihak bahawa cita-cita, falsafah bolasepak dan nilai yang dibawa Gamel ke dalam kelab sepenuhnya menepati apa yang Sri Pahang mahukan.

“Justeru kita gembira beliau telah bersetuju untuk membimbing pasukan dan membantu Sri Pahang bangkit serta berkembang sebagai pasukan lebih baik bermula 2022,” tulis kenyataan rasmi.

Manakala Christophe Gamel berkata : “Sri Pahang sebuah pasukan yang mempunyai sejarah dan tradisi yang hebat dalam Liga Malaysia dan saya berbangga untuk menjadi ketua jurulatih baru pasukan ini.

“Saya boleh rumuskan kelab ini mempunyai cita-cita dan perancangan yang besar untuk masa depan dan saya bersedia untuk membantu mereka mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Presiden dan pengurusan kelab dan saya juga berharap akan mendapat sokongan penuh daripada penyokong.” jelasnya.

Selain kehadiran jurulatih baharu, skuad Tok Gajah turut membuat rombakan besar-besaran apabila melepaskan 12 pemainnya musim ini termasuk 5 tenaga import.

5 pemain import yang tidak disambung kontrak itu adalah Manuel Hidalgo, Herold Goulon, Abubakar Yakubu, Kenny Athiu, dan Aung Kaung Mann. Pemain tempatan lain adalah Helmi Eliza Elias, Faisal Rosli, Fazly Mazlan, Zazrir Naim, Ezanie Salleh, Arisazri Juhari, Hazri Rozali dan Faizal Rani.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Scott O’Donell Bakal Diumumkan Sebagai Pengarah Teknikal Baharu FAM?

FAM: Tan Cheng Hoe Sah Letak Jawatan Ketua Jurulatih Malaysia Dengan Persetujuan Bersama

Norshahrul Idlan Talaha Nafi Sertai TRW Kelantan

Umbro Penaja Rasmi Jersi Terengganu Selama Dua Musim Dengan Nilai Tajaan RM1.8 Juta