Pengendali TRW Kelantan, Choi Moon-sik menyimpan impian tinggi mahu melakukan kejutan pada penampilan tahun sulungnya dalam saingan Liga Malaysia musim 2023.

Jurulatih dari Korea Selatan itu tidak mahu para pemainnya terlalu gentar dengan reputasi pasukan lain sepanjang saingan Liga Super dan berharap dapat menewaskan kelab gergasi tempatan seperti Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya berpuas hati dan gembira kerana dapat bersama kelab ini. Sekarang saya dalam fasa pembentukan pasukan dan sudah tentu saya mahu pastikan yang kami bersedia untuk musim baharu.

“Bagi sasaran, saya mahu memastikan Kelantan mampu berada di kedudukan pertengahan liga dan jika boleh, saya mahu Kelantan mampu menewaskan pasukan gergasi seperti Kedah dan JDT sekaligus membuktikan kehadiran kami tidak boleh dipandang rendah.

“Siapa sahaja yang kami akan jumpa pada lima perlawanan pertama, saya tidak kisah kerana apa yang lebih penting adalah persiapan kami di permulaan musim ini. Saya mahu semua pemain berada di tahap terbaik sebelum musim bermula,” katanya seperti dipetik dalam rakaman video MFL. 

Setelah beberapa siri perlawanan pra-musim, para pemain TRW Kelantan kian memahami dan mulai selesa dengan pemahaman bola sepak segar yang dibawa secara terus dari Korea Selatan.

Malah, pemilik kelab, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai ZamSaham turut mengesahkan dua pemain import dari Korea Selatan telah dibawa masuk memperkuatkan pasukan tersebut. Difahamkan pemain ini datang daripada kelab divisyen 1 K-League.

Para pemain yang kekal seperti Nurshamil, Muhaimin, Ikhwan Yazek dan beberapa pemain lain turut merasai aura kembalinya pasukan ini pentas bola sepak tertinggi Malaysia.

Pelbagai aspek kini ditekankan oleh barisan jurulatih Kelantan seperti kekuatan mental dan fizikal, keserasian antara pemain dan formasi, serta kecergasan pemain. Ia adalah untuk memastikan mereka lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan di masa hadapan.

Pengalaman yang dimiliki oleh Choi Moon Sik bersama pasukan kebangsaan Korea Selatan dibantu oleh jurulatih kecergasan, Park Hyo-Jun pastinya akan membawa pasukan TRW Kelantan FC ke arah yang positif.