TRW Kelantan mengikut jejak langkah pasukan kebangsaan apabila melantik jurulatih dari Korea Selatan iaitu Choi Moon-sik sebagai pengendali baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Perkara ini diumumkan oleh pasukan menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana selain melantik Moon-sik, Kelantan turut mendapatkan khidmat Hyo Jun-park sebagai jurulatih kecergasan.

“TRW Kelantan telah selesai menantadangani Ketua Jurulatih, Mr. Choi Moon Sik serta Jurulatih Kecergasan, Mr. Hyo Jun Park bagi memulakan aksi saingan Liga Super Malaysia 2023.

“Kedua-dua jurulatih yang berpangkalan di Seoul, Korea Selatan telah selamat tiba dan disambut oleh Pemilik Kelab TRW Kelantan, En Norizam Tukiman dan barisan jurulatih serta pihak pengurusan.

“Berbekalkan pengalaman dan kemahiran mereka di peringkat Asia dan Dunia, pasukan TRW Kelantan akan memberikan saingan yang tinggi di dalam arena bola sepak musim ini. Teruskan mengikuti perkembangan pasukan di media sosial rasmi. Info-info rasmi pasukan akan menyusul,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.

Choi Moon-sik mempunyai pengalaman sebagai jurulatih bersama beberapa kelab di Korea dan juga skuad kebangsaan negara tersebut dimana sebelum ini beliau pernah memegang jawatan sebagai penolong jurulatih ketika bersama Chunnam Dragons dan skuad kebangsaan Korea B-23 Tahun.

Ketika bergelar pemain profesional, Moon-sik pernah beraksi dalam temasya Sukan Olimpik 1992 dan juga Piala Dunia 1994.

Musim ini, Kelantan bakal beraksi dalam saingan Liga Super dan setakat ini mereka mengekalkan beberapa pemain penting daripada skuad musim lalu seperti Ghaffar Rahman, Syaqimi Rodzi, Yusri Yuhasmadi dan Khairul Helmi Johari.