Persatuan Bola Sepak China (CFA) merancang untuk menjadikan Thailand sebagai lokasi gelanggang neutral untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan Mac depan berikutan penularan wabak coronavirus yang mengancam kesihatan rakyat negara itu.

Menurut laporan daripada South China Morning Post, mereka akan menjadikan gelanggang kelab Liga Thai 1, Buriram United iaitu Stadium Chang sebagai lokasi perlawanan menentang Maldives pada 26 Mac 2020.

Jumlah kematian akibat penularan coronavirus di China yang semakin meningkat ditambah pula dengan arahan penutupan beberapa daerah daripada kerajaan menyebabkan CFA menangguhkan semua aktiviti bola sepak di sana.

Malah, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut menangguhkan perlawanan peringkat kumpulan AFC Champions League yang melibatkan kelab Liga Super China dan ditukarkan lokasi ke gelangang neutral.

Berdasarkan jadual perlawanan kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, China turut akan menentang Guam di tempat lawan pada 31 Mac 2020 namun mereka tidak boleh ke sana kerana dilarang oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Guam merupakan sebahagian daripada wilayah Amerika Syarikat dan rakyat dari China tidak boleh memasuki negara tersebut kerana bimbang dengan penularan wabak coronavirus.

Justeru itu, CFA merancang untuk menjemput Guam ke Thailand dan akan membuat permintaan kepada AFC untuk mengadakan perlawanan di sana. Pengendali skuad China, Li Tie turut mengaturkan sesi latihan pusat di dubai pada awal bulan Mac sebelum ke Thailand.

Selepas mengharungi 4 perlawanan, China kini ketinggalan 5 mata di belakang pendahulu kumpulan A, Syria yang berjaya mengumpulkan 12 mata setakat ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak China melalui pautan dibawah.

Marcello Lippi Letak Jawatan Selepas China Tewas Kepada Syria

China Bakal Tambah Empat Pemain Naturalisasi Dalam Skuad Kebangsaan

Liga Super China Musim 2020 Ditangguhkan Kerana Wabak Coronavirus