Skuad kebangsaan China akan berwajah baharu apabila 4 pemain naturalisasi dilaporkan bakal memperkuatkan pasukan itu bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

4 pemain tersebut ialah Ricardo Goulart (tengah), Alan Carvalho (penyerang), Aloisio (penyerang) dan Fernando Henrique (penyerang). Mereka telah pun menerima pasport warganegara China menurut laporan daripada Titan Sports Plus.

Bagaimanapun, daripada 4 pemain berkenaan, hanya Aloisio layak beraksi bersama China mulai bulan depan manakala Alan Carvalho, Ricardo Goulart serta Fernando Henrique perlu menunggu pada tahun 2020 kerana belum menyelesaikan beberapa proses dokumentasi.

Sebelum ini, China telah menyenaraikan pemain kelahiran Brazil, Elkeson sebagai pemain naturalisasi bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Beliau adalah pemain naturalisasi kedua yang diberi status warganegara China selepas pemain kelahiran London, Nico Yennaris atau nama cinanya ialah Li Ke.

Elkeson dan Li Ke adalah sebahagian daripada 25 pemain yang disenaraikan oleh Marcello Lippi bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Guam dan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Filipina pada minggu lalu.

China terdesak untuk membentuk barisan yang mantap supaya mampu layak ke Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah bola sepak mereka.

China

Barisan pemain China tanpa khidmat pemain naturalisasi. FOTO: Goal.com

Namun, presiden Persatuan Bola Sepak China (CFA), Chen Xuyuan menegaskan kemasukan pemain asing adalah untuk perancangan jangka masa pendek bagi mencapai sasaran layak ke Piala Dunia. Mereka merancang untuk menjadi kuasa gergasi Asia pada tahun 2030 dan gergasi dunia pada tahun 2050.

Kehadiran ramai pemain naturalisasi turut menimbulkan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan peminat bola sepak China yang mendakwa sistem pembangunan akar umbi di negara itu telah gagal.

Bagaimanapun, pengendali skuad China, Marcello Lippi tidak mahu terlalu memikirkan tentang isu tersebut kerana menyifatkan kehadiran pemain naturalisasi akan membantu pemain tempatan meningkatkan prestasi mereka untuk bersaing berebut tempat.

Malah, jurulatih dari Itali itu memberi bayangan beliau akan melepaskan jawatannya jika gagal membawa pasukan negara itu layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Lihat artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak China melalui pautan dibawah. 

Elkeson Pemain Naturalisasi Kedua Sertai Skuad Kebangsaan China

Filipina Ikat Pasukan China Tanpa Jaringan, Neil Etheridge Selamatkan 14 Percubaan Tepat Ke Gawang

Guus Hiddink Dipecat Sebagai Jurulatih China B-23 Selepas Tewas Kepada Vietnam

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group