Pemain pertahanan sisi Chelsea, Ben Chilwell akan menjalani pembedahan lutut yang dijangka akan membuatkannya tersisih untuk sepanjang musim ini.

Chilwell mengalami kerosakan pada ligamen anterior cruciate ataupun ACL dalam kemenangan Chelsea menentang Juventus pada 23 November dalam aksi UCL.

The Blues berharap Chilwell akan dapat kembali beraksi tanpa pembedahan, tetapi bek kiri England itu telah diberitahu dia mesti menjalani pembedahan untuk pembaikan ligamen.

“Selepas kecederaan lutut dalam perlawanan menentang Juventus, jabatan perubatan Chelsea, dengan kerjasama pakar lutut, mengambil keputusan untuk mencuba pendekatan pemulihan konservatif,” kata kenyataan Chelsea.

“Malangnya Ben tidak dapat membaik  dan secara kolektif keputusan telah diambil untuk meneruskan rawatan minggu ini dengan pembedahan.”

Memandangkan Chilwell dilaporkan akan diketepikan sehingga penghujung musim ini, Chelsea dijangka akan berada dalam jendela perpindahan Januari untuk mendapatkan penggantinya.

Lucas Digne dari Everton dan Nicolas Tagliafico dari Ajax dikatakan antara calon utama Chelsea untuk mengisi kekosongan itu.

Pada ketika ini, Marcos Alonso adalah satu-satunya bek kiri senior Chelsea semasa ketiadaan Chilwell.

Pemain tengah Blues, Callum Hudson-Odoi, Saul Niguez dan Christian Pulisic juga beberapa kali bermain sebagai bek sayap (wingback). Namun mereka pastinya tidak boleh bermain sebagai bek sisi (fullback).

Bos Chelsea, Thomas Tuchel juga mungkin akan memanggil semula Ian Maatsen atau Emerson Palmieri daripada tempog pinjaman mereka di kelab lain.

Maatsen telah menunjukkan aksi cemerlang di Coventry dalam Kejuaraan, manakala Emerson telah menjadi pemain utama di Lyon.

Pembedahan Chilwell adalah tamparan kecederaan terbaru buat Chelsea.

Ruben Loftus-Cheek turut diragui mengalami kecederaan kaki, manakala Timo Werner dan Kai Havertz berada dalam isolasi covid-19.

Thiago Silva mengalami kecederaan paha ketika menang di Aston Villa Ahad lalu dan N’Golo Kante mengalami masalah kecederaan lutut, dengan kedua-duanya masih belum pasti akan dapat diturunkan untuk menentang Brighton.