Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mahu beri masa kepada penyerang import baharu, Ayron Del Valle untuk menyesuaikan diri bersama pasukan.

Hal ini kerana pengendali berusia 54 tahun itu percaya Del Valle mampu untuk menjadi pengganti kepada bekas pemain import, Herlison Caion de Sousa Ferreira.

Caion yang memilih untuk berhijrah Kuala Lumpur City FC telah berjaya menjaringkan 24 gol secara keseluruhan bersama Selangor dalam semua pertandingan musim lalu.

Daripada 24 gol tersebut, 14 jaringan dihasilkan dalam Liga Super, enam gol ketika saingan Piala Malaysia manakala baki empat gol bagi kempen Piala FA.

Sehubungan dengan itu, Cheng Hoe kini mengharapkan penyerang baharu dari Colombia itu mampu untuk menggantikan posisi tersebut sekali gus dapat membantu barisan hadapan pasukan.

Walau bagaimanapun, beliau menyifatkan Ayron Del Valle masih perlukan masa untuknya selesa dengan percaturan Selangor apabila dia hanya diuji kurang 20 minit sebelum tamat masa perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC serta dimasukkan pada awal babak kedua pertemuan dengan Penang ketika saingan Piala Harapan tempoh hari.

Pada dua perlawanan tersebut, tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang aksi penjaring terbanyak Liga Dimayor (Colombia) selama tiga musim berturut-turut itu.

“Memang kita mengharapkan Ayron akan dapat menggantikan Caion dan saya juga pernah beritahu perkara itu.”

“Sudah tentu kita akan beri masa kepadanya untuk menyesuaikan diri dengan pasukan dan faham corak permainan di Selangor.”

“Yang penting rakan-rakan juga perlu memberi sokongan kepada Ayron untuk dia berikan persembahan terbaik bersama rakan sepasukan lain selepas ini,” ujar Cheng Hoe menurut kenyataanya di laman sesawang rasmi Malaysian Football League.