Kai Havertz menjadi wira kemenangan Chelsea, dalam usaha mengurangkan tekanan ke atas pengurus Graham Potter dengan kemenangan tipis ke atas Crystal Palace.

Chelsea mencipta kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace dalam perlawanan yang agak sukar untuk Chelsea. Ia adalah kemenangan pertama Chelsea pada tahun 2023.

Kai Havertz menjaringkan gol tunggal perlawanan di Stamford Bridge dengan tandukan pada separuh masa kedua pada hari Chelsea memberi penghormatan kepada bekas pemain dan pengurus Gianluca Vialli.

Legenda Cheslea dari Itali itu meninggal dunia awal bulan ini pada usia 58 tahun akibat kanser pankreas.

Beberapa bekas rakan sepasukan Vialli di Chelsea menyertai pemain dari kedua-dua belah pihak di atas padang untuk berdiam diri seminit, manakala penyokong tuan rumah membentangkan sepanduk dengan gambar Vialli berlatarbelakangkan bendera Itali.

Aksi di atas padang juga dibayangi oleh pengumuman rasmi pada separuh masa pertama bahawa Chelsea telah menyelesaikan pembelian Mykhailo Mudryk dengan bayaran yang boleh meningkat kepada €100 juta.

Bekas pemain sayap Shakhtar Donetsk itu diperkenalkan pada separuh masa berselimutkan bendera Ukraine dan menjadikan perbelanjaan bawah pemilikan konsortium Todd Boehly melebihi £400 juta.

Chelsea sebelum ini mendapatkan Joao Felix secara pinjaman dari Atletico Madrid.

Tidak banyak yang dapat ditunjukkan untuk pelaburan itu setakat ini, tetapi skuad yang dilanda kecederaan Potter sudah cukup untuk mencipta kemenangan kedua dalam 10 perlawanan liga.

Havertz membalas kepercayaan Potter dengan menjadi wira kemenangan Chelsea, apabila dia melompat paling tinggi untuk menyambut hantaran silang Hakim Ziyech daripada tendangan sudut pada minit ke-64 .

Chelsea masih memerlukan beberapa aksi kepahlawanan daripada penjaga gol Kepa Arrizabalaga untuk menyaksikan perlawanan tamat apabila penjaga gol Sepanyol itu melakukan penyelamatan dari sepakan voli Cheick Doucoure.

“Penonton adalah hebat. Mereka mengenali saat kami berada di atas padang, mereka mengenali pemain muda di atas padang, dan mereka tetap di belakang pemain-pemain kami dan membuat kami melepasi garisan,” kata Potter.

Chelsea sedar bahawa mereka masih perlu banyakkan lagi usaha untuk mendaki dalam carta liga.