Bagi pemain bola sepak profesional adalah sangat penting buat mereka untuk menitikberatkan soal pengambilan makanan berkualiti terutamanya beberapa jam sebelum beraksi dalam satu-satu perlawanan.

Pola pemakanan yang dikawal dengan teliti secara tidak langsung akan membantu para pemain untuk mempersiapkan diri pada tahap terbaik sekali gus dapat meningkatkan tenaga dan kesegaran apabila beraksi.

Hakikat itu tidak dapat disangkal lagi kerana seperti diketahui kelab-kelab di Eropah turut memiliki pakar pemakanan untuk memberikan nasihat serta saranan tentang pemakanan sesuai buat para pemain.

Sehubungan dengan perkara tersebut, wakil Vocket FC berkesempatan bertemu dengan individu yang kerap berhubung dengan pakar pemakanan pasukan untuk berkongsikan pengalamannya berkenaan penyediaan makanan buat para pemain.

Beliau yang dimaksudkan ialah Chef Shahbani Md Akhir yang merupakan ‘Banquet Chef’ di Dorsett Grand Subang.

Apa tugas Chef Shahbani?

Anak kelahiran Kampung Pegawai Alor Janggus dan kemudiannya ke Felda Teloi Timur, Kuala Ketil itu sudah enam tahun mengetuai tugasan dalam menyediakan makanan kepada pasukan-pasukan yang menjadikan hotel tersebut sebagai tempat penginapan bagi menghadapi perlawanan di Lembah Klang.

Menurut Chef Shahbani, pengurus dan pakar pemakanan pasukan akan berjumpa dengan beliau terlebih dahulu bagi membincangkan menu yang diperlukan oleh pasukan sepanjang menginap di sana.

Ketika perbincangan tersebut, menjadi kebiasaan makanan pedas, lemak tinggi, sebarang makanan yang mengandungi minyak akan dikeluarkan daripada menu untuk disajikan kepada para pemain. Sebaliknya, sajian bersifat lebih protein dan karbohidrat akan menjadi pilihan beliau.

Sedang berbincang mengenai menu bersama kakitangan skuad kebangsaan Indonesia.

Manakala, bagi makanan bersantan pula, pengurus dan pakar pemakanan pasukan akan meminta untuk menukarkan kepada berbentuk makanan barat seperti cara memanggang dan kurangkan minyak serta pengambilan sos yang tidak menggunakan lemak tinggi.

Untuk sarapan pagi, menu kolestrol tinggi seperti nasi lemak serta roti canai tidak akan disediakan dan digantikan dengan kentang, lempeng dan sajian aneka telur (telur hancur, separuh masak dan goreng).

Manakala waktu petang sebelum perlawanan [Hi Tea], Chef Shahbani akan mengelakkan daripada makanan berprotein tinggi seperti daging dan ayam.

Hal ini kerana ia akan menganggu ketahanan pemain sehingga menyebabkan kecergasan terganggu ketika beraksi. Oleh itu, beliau lebih memilih untuk menyediakan buah, sandwich, jus dan roti bakar.

Pelbagai permintaan pemain dan kakitangan pasukan

Terlibat dalam menyediakan makanan tanpa mengira pasukan kebangsaan atau kelab tempatan dalam saingan Liga Super atau Liga Premier sejak 2016, pelbagai kerenah dapat disaksikan oleh Chef Shahbani sepanjang beliau bertugas.

“Banyak perkara yang dilalui antaranya ada pemain dari sebuah pasukan negara di benua Asia yang meminta saya untuk menyediakan roti canai ketika ‘Hi Tea’,” ujar Chef Shahbani bercakap kepada wakil Vocket FC.

Chef Shahbani bersama ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong

“Ia sememangnya tidak dibenarkan kerana akan mempengaruhi keadaan mereka ketika beraksi tetapi disebabkan rasa kasihan saya sediakan juga selepas perlawanan. Begitu juga jika ada pemain meminta nasi lemak. Saya akan berikan selepas tamat perlawanan.”

“Selain itu, ada juga pasukan yang meminta menu tambahan yang sukar untuk saya sediakan sebagai contoh nasi kambing.”

“Menu tersebut tiada dalam bajet awal yang dipersetujui. Sekiranya tetap mahukan menu tersebut, saya perlu berbincang semula dengan pengurus pasukan.”

“Baru-baru ini pula ada jurulatih tiba-tiba mahu saya menyediakan kimchi sedangkan ia tiada dalam perbincangan antara pengurus dan pakar pemakanan mereka.”

“Di samping itu, ada juga pasukan yang meminta saya untuk menyediakan makanan tidak halal sehingga tercetusnya pertikaian yang akhirnya perlu dijelaskan dengan lebih lanjut kepada mereka.”

“Sekiranya ada pasukan yang membawa chef sendiri pula, kebanyakkannya tidak boleh berbahasa Inggeris sehingga menyebabkan kesukaran untuk kami bekerjasama.”

“Itulah antara kenangan sepanjang saya berkhidmat buat pasukan yang menginap di sini,” tambah beliau lagi.

Chef Shahbani bersama jurulatih skuad wanita kebangsaan Jordan, David Nascimento.

Chef Shahbani turut mendedahkan gembira dengan tugasan dilakukannya apatah lagi beliau memang amat meminati sukan bola sepak.

“Bola sepak memang hobi saya sejak dari kecil dan saya membesar ketika zaman kegemilangan Allahyarham Mokhtar Dahari. Ada ketikanya saya pernah berkongsi pengalaman dan pendapat bersama legenda bola sepak tanah air seperti Dato Bakri Ibni dan Shahrin Majid.”

“Keadaan ini membuatkan saya lebih cenderung dengan bola sepak dan kerjaya dalam mengendalikan makanan buat pasukan sangat dekat dengan jiwa saya.”