Pemain bintang skuad kebangsaan Thailand, Chanathip Songkrasin tidak mahu pasukan negaranya berasa selesa dengan meraih kejayaan di peringkat Asia Tenggara.

Chanathip berkata demikian dalam satu temu bual yang dikongsikan All Things Thai Football di laman media sosial Twitter selepas pemain itu melengkapkan perpindahan dengan menyertai juara saingan J1 musim 2021, Kawasaki Frontale.

“Saya tidak mahu kita terus berada dalam kitaran ini. Gembira kerana menjadi juara di Asia Tenggara, kita meraikan tetapi tiada kejayaan di peringkat Asia. Oleh sebab itu saya beraksi di Jepun. Saya mahu menjadi pemain yang lebih baik dan membantu Thailand untuk meningkatkan mutu pasukan,” kata Chanathip.

Sebelum ini, pemain berusia 28 tahun itu menggesa agar pemain berbakat Asean perlu keluar dari zon selesa dan mencari cabaran baharu jika mahu meningkatkan kualiti dan membantu pasukan kebangsaan masing-masing.

“Bola sepak Asia Tenggara kini mengalami peningkatan yang ketara dimana bukan mudah untuk memenangi sesebuah perlawanan dalam saingan Piala AFF Suzuki.

Chanathip Songkrasin
Witan Sulaeman, Nguyen Quang Hai and Supachok Sarachat

“Akan tetapi, untuk terus mengecapi kejayaan, pemain terbaik dari rantau ini setelah mereka meraih kejayaan di peringkat domestik bersama kelab masing-masing, mereka perlu keluar dari zon selesa dan bermain di peringkat yang lebih tinggi bagi memantapkan lagi kualiti mereka serta meraih pengalaman berharga.

“Perkara ini pada masa hadapan akan membantu bola sepak Asia Tenggara untuk terus berkembang maju, pasukan akan menjadi lebih kuat dan lebih cepat untuk sampai ke satu tahap yang lebih baik,” katanya.

Chanathip Songkrasin berpindah ke Kawasaki Frontale dimana kelab yang diwakilinya sebelum ini, Hokkaido Consadole Sappporo menerima tawaran Kawasaki yang dianggarkan sebesar JPY500 juta atau RM18.17 juta.

“Saya mahu tinggalkan sesuatu yang besar untuk Consadole. Bagi saya sendiri, ini satu challenge baru dan mungkin percubaan terakhir saya beraksi dalam saingan liga bola sepak Jepun,” kata Chanathip.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia Tenggara di sini:

Kim Byung-soo Calon Pilihan Untuk Kendalikan Skuad Harimau Malaya

Sasalak Haiprakhon Kembali Ke Buriam United

TDC Holdings Penaja Platinum Terengganu FC Dengan Nilai Tajaan Mencecah RM4.5 Juta