Ketua pasukan Thailand, Chanathip Songkrasin memohon maaf kepada penyokong setia skuad Gajah Perang kerana gagal meneruskan aksi pada perlawanan 48th King’s Cup 2022 bertemu Malaysia, malam tadi.

Chanathip terpaksa digantikan dengan Sumanya Purisai selepas hanya mampu beraksi kira-kira 13 minit ekoran kecederaan pangkal paha yang dialaminya.

Ketiadaan beliau dalam mengemudi jentera tengah sedikit sebanyak telah merencatkan aksi skuad kendalian Mano Polking pada babak pertama yang seolah-olah hilang kreativiti untuk memburu jaringan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan The Standard, Chanathip mengakui bahawa beliau mengalami kecederaan di tempat yang sama. Ia memberikan gambaran jelas bahawa kecederaan itu sudah dialaminya sebelum perlawanan lagi.

Difahamkan, Chanathip mengalami kecederaan tersebut ketika beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Johor, April lalu.

“Ia berkemungkinan kecederaan pangkal paha di bahagian yang sama. Saya mengetahui perkara ini dan perlu untuk membuat pemeriksaan terlebih dahulu sama ada ia mungkin terdapat banyak otot yang terkoyak.”

“Tetapi yang pastinya akan ada otot yang terkoyak,” ujar Chanathip bercakap kepada wartawan di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.

“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada semua termasuklah para penyokong kami kerana saya bermain dan kemudiannya mengalami kecederaan.”

“Saya juga meminta maaf kerana bermain dalam keadaan cedera. Saya rasa seperti begitu mementingkan diri.”

“Yang paling penting walaupun kami kalah tetapi tetap berterima kasih kepada penyokong yang datang. Sudah tentu saya gembira melihat stadium dipenuhi dengan para penyokong.”

“Kami telah melakukan dengan baik. Tolong teruskan menyokong kami,” tambah Chanathip lagi.