Dua pemain bintang Thailand, Chanathip Songkrasin Dan Theerathon Bunmathan menyertai kem pasukan itu menjelang perlawanan kedua kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2020 menentang Myanmar pada Sabtu ini.

Kedua-dua pemain ini terlepas aksi ketika menentang Timor Leste kerana tugasan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Jepun yang menyaksikan Thailand berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 2-0.

Chanathip yang turut dilantik sebagai ketua pasukan menyertai sesi latihan pada semalam manakala Theerathon menyertai sesi latihan pada hari ini setelah menjalani proses kuarantin selama sehari mengikut protokol COVID-19 yang telah ditetapkan oleh pihak tuan rumah.

Menurut pemain tengah Hokkaido Consadole Sapporo itu, beliau tidak sabar untuk beraksi bersama skuad kebangsaan kerana sudah lama tidak menyarung jersi skuad Thailand pada perlawanan antarabangsa.

“Sudah lama saya tidak beraksi bersama Thailand dan kini saya sudah sedia untuk membantu pasukan. Kami berada di sini untuk membawa pulang trofi kejuaraan. Saya juga merasa bangga kerana pengurus pasukan (Nualphan Lamsam) dan barisan kejurulatihan melantik saya sebagai kapten dan meletakkan kepercayaan penuh kepada saya,” kata Chanathip.

Ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking nyata gembira pasukannya diperkuatkan oleh dua pemain yang pernah membantu Thailand memenangi trofi Piala AFF Suzuki pada edisi sebelumnya.

“Kami mempunyai Chanathip dan Theerathon bagi menghadapi perlawanan kedua menentang Myanmar. Semua orang tahu dua pemain ini merupakan pemain terbaik di rantau Asean dan kelibat keduanya bakal membantu pasukan,” kata Polking.

Chanathip Songkrasin dan Theerathon Bunmathan pernah membantu Thailand memenangi saingan Piala AFF Suzuki edisi 2016 sekaligus trofi kelima mereka dengan menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir.

Thailand tewas pada perlawanan akhir pertama dengan keputusan 2-1 dan mereka bangkit pada perlawanan kedua di Stadium Rajamangala dengan kemenangan 2-0 sekaligus memenangi pentas akhir dengan keputusan 3-2.

Baca artikel lain mengenai saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:

Tender Sediakan Makanan 2 Kali Sehari, Pemain Vietnam Boleh Pilih 100 Menu Sepanjang Piala AFF 2020

Kedutaan Vietnam Di Singapura Hantar Meja Pingpong Ke Hotel Untuk Elak Pemain Vietnam Mati Kutu

Guilherme De Paula Beri Penjelasan Insiden Melibatkan Dirinya