Juara Liga Bolasepak Filipina, Ceres-Negros mencipta kejutan apabila menewaskan juara Piala FA Thailand 2019, Port FC pada pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium PAT semalam, Port menjadi pasukan pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya kerana mereka dibarisi oleh pemain yang mempunyai pengalaman luas di pentas Asia seperti Tanaboon Kesarat dan Heberty Fernandes.

Namun, nasib nyata tidak menyebelahi pasukan yang menamatkan saingan Thai League 1 musim 2019 di tangga ketiga itu apabila kesilapan daripada penjaga gol, Worawut Srisupa menyebabkan mereka tersingkir.

Worawut cuba untuk menepis percubaan daripada ketua pasukan Ceres-Negros, Stephan Schrock pada separuh masa kedua namun beliau tertampan bola ke dalam gawang sendiri.

Tersentak dengan jaringan Ceres, Port menggandakan asakan dimana mereka mempunyai peluang untuk menjaringkan gol penyamaan menerusi Heberty dan penyerang skuad kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn namun kedua pemain ini gagal untuk memanfaatkan peluang terhidang.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan pasukan kendalian Risto Vidakovic mara ke pusingan ketiga saingan kelayakan.

Ceres-Negros akan turun menentang naib juara saingan J1 League, FC Tokyo di pusingan ketiga.

Baca artikel lain mengenai kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 di sini:

Hatrik Kipre Tchetche Bantu Kedah Singkirkan Tai Po FC

Kipre Tchetche Yakin Kedah Raih Keputusan Positif Berdepan Tai Po FC