Baru-baru ini, Malaysia Football League (MFL) mengumumkan pindaan jadual perlawanan Liga Super yang membabitkan perlawanan ketujuh sehingga ke-10 musim ini untuk memberikan laluan kepada persiapan skuad senior kebangsaan dan skuad bawah 23 tahun (B-23) yang akan mengharungi kejohanan antarabangsa.

Ia bermakna saingan Liga Super akan direhatkan hampir dua bulan bermula pada bulan Mei 2022 sekaligus mencetuskan kurang rasa senang dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, pindaan itu turut mencetuskan kemarahan para penyokong. Ada diantara mereka mengalami kerugian kerana telah membayar tiket penerbangan dan hotel penginapan untuk menyaksikan perlawanan Liga Super yang membabitkan pasukan kesayangan masing-masing.

Malah, dalam laporan Bernama semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh meluahkan rasa terkilan dengan perubahan jadual tersebut kerana ia dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan pihaknya.

“Sebagai rakan kongsi kepada MFL, apa-apapun keputusan badan induk itu sepatutnya melalui perbincangan. Tipu jika saya rasa gembira mengenai perkara ini (jadual baharu). Sudah tentu saya begitu kecewa atas faktor pertama, momentum pasukan kita semakin baik daripada kekalahan besar kepada kekalahan yang tipis dan seterusnya merakam kemenangan dalam dua aksi terakhir.

“Kedua, ia membabitkan kewangan. Kita sudah menempah tiket kapal terbang aksi di Sabah dan penginapan, jadi apabila penangguhan ini berlaku, sudah tentu menjejaskan kewangan kami dan juga peminat yang sudah membeli tiket.

“Jadi perkara itu menimbulkan rasa kecewa, sudahlah kita sebelum ini mengalami penundaan perlawanan peringkat awal kerana wabak pandemik COVID-19, kini pasukan kami ditunda lagi.

“Saya tidak tahu adakah penjadualan ini membantu pasukan kami dan pasukan lain, situasi inilah membuatkan kami terlalu kecewa,” katanya dipetik dalam Bernama.

TFC juga akan menghantar surat rayuan kepada MFL agar pindaan jadual perlawanan itu dapat diteliti semula bagi memastikan tidak lagi menjadi mangsa keadaan yang seterusnya boleh ‘membunuh’ pasukan itu.

Mereka yang sepatutnya menentang Penang FC pada 7 Mei depan ditunda kepada tarikh baharu iaitu pada 22 Jun manakala pertemuan dengan Sabah FC ditunda kepada 19 Julai berbanding jadual asal 11 Mei dan pertemuan dengan Melaka United FC ditunda pada 28 Ogos berbanding jadual sebelum ini pada 17 Mei.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Ultras Dan Kelab Penyokong Kedah Terima Dana Daripada KFA Beli Peralatan Muzik

Minyak Masak ALIF Diumumkan Sebagai Penaja Baharu Liga Malaysia 2022

Tiga Perlawanan Tanpa Kemenangan, Dollah Bakal Kembali Latih Sri Pahang?

Risau Didenda, Bojan Hodak Tahan Diri Daripada Kritik Mutu Pengadilan

Masih Gagal Selesaikan Tunggakan Gaji, Perak Dipotong Enam Mata Lagi

Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Jika Pemain Dan Jurulatih Disahkan Positif COVID-19