Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang mengakui bersetuju dengan keputusan Malaysian Football League (MFL) dalam melanjutkan tempoh perpindahan pemain seperti yang diumumkan petang semalam.

Langkah itu disifatkan oleh Suffian dapat membuka ruang dalam membuat penilaian terhadap pemain sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia yang bermula pada 5 Mac ini.

Beliau menegaskan dalam menilai kualiti seseorang pemain, pihak kejurulatihan tidak boleh membuat keputusan melulu dan perlu melihat prestasi semasa mereka sebelum mengikat mana-mana pemain.

“Bukan sahaja Pahang, keputusan ini memang akan berikan banyak ruang kepada pasukan lain kerana apabila latihan terhenti seketika kerana PKP dan sebagainya, perancangan pasukan juga terganggu.”

“Terima kasih saya ucapkan atas keputusan ini walaupun saya tidak nafikan ada pasukan tidak bersetuju namun jika dilihat balik, banyak pertimbangan perlu dilakukan dalam tempoh sebegini.”

“Apabila pemain itu sampai, dia kena kuarantin dan perlu melalui pelbagai proses dengan segalanya dilakukan secara maya, jadi banyak masa diperlukan sebelum pemain itu baru boleh turun berlatih.”

“Kita tidak boleh menilai sesuatu pemain itu dalam satu atau dua hari dan setiap jurulatih memerlukan masa dan jika tidak sesuai, pasukan boleh tukar dengan pemain lain dan saya positif dengan apa diumumkan oleh MFL, semalam, “ katanya.

Pada Khamis, Malaysian Football League (MFL) mengesahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah melanjutkan tarikh jendela perpindahan pemain pertama sehingga 5 Mac 2021 untuk Liga Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, FIFA telah menghantar surat pemakluman itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan perkhabaran itu mampu memberikan suntikan moral kepada pasukan-pasukan untuk membuat persiapan lebih rapi.

Kata lagi Dato’ Ab Ghani, MFL memohon tarikh lanjutan jendela perpindahan pemain pertama di atas faktor-faktor terdapat permohonan daripada pasukan yang hadapi masalah dengan pemain asing dan tempatan selain berkaitan dengan persiapan pasukan dalam tempoh PKP.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Sri Pahang Tandatangani Pedro Henrique, Isi Kuota Pemain Import Asean

Jendela Perpindahan Pertama Liga Malaysia 2021 Yang Sepatutnya Ditutup Esok Dilanjutkan Hingga 5 Mac

RASMI: Amri Yahyah Sertai Sabah FC