Selangor mengalami satu lagi kekalahan dimana kali ini mereka tumpas kepada Petaling Jaya City dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Darren Lok menjadi wira PJ City dimana jaringan tunggalnya pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memberikan kemenangan kepada pasukannya dan menambah lagi derita skuad Gergasi Merah.

Individu yang menjadi sasaran kemarahan peminat yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Dr Johan Kamal Hamidon berkata pihak kelab menuntut prestasi yang lebih baik daripada pasukan.

“Keputusan beberapa perlawanan terakhir ini tidak boleh diterima. Ini bukan tahap Selangor yang sepatutnya. Kelab menuntut lebih banyak daripada pasukan dan mereka tiada alasan untuk gagal di atas padang,” kata Dr Johan.

Kekalahan di tangan PJ City menyaksikan kelab Lembak Klang itu mengalami kekalahan dalam lima perlawanan terakhir yang dihadapi dimana kali terakhir skuad kendalian Nidzam Jamil itu memenangi perlawanan ialah ketika menentang Sabah pada aksi suku akhir saingan Piala FA.

Tahap kemarahan peminat sudah berada di kemuncak dimana selepas aksi menentang PJ City, sekumpulan peminat menunggu pasukan di pintu masuk stadium bagi mendapatkan penjelasan tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam pasukan ketika ini.

Peminat juga meminta agar pengurusan pasukan mengadakan pertemuan dengan penyokong bagi memberi penjelasan mengenai prestasi pasukan yang tidak menentu ketika ini.

Pada aksi Liga Super yang seterusnya, Selangor akan turun menentang pendahulu liga iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan sekiranya mereka tewas, berkemungkinan besar Selangor akan jatuh ke tangga ke-11.

Mereka ketika ini hanya dibezakan dengan jumlah jaringan denga PJ City yang berada di tangga ke-10 dan dan dua mata dengan Sarawak United yang berada di tangga ke-11.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

TMJ: Satu Pengajaran Berguna Kepada Pemain Dan Kelab

ZamSaham: “Tak Semestinya Perlu Ada Stadium Untuk Tingkatkan Nilai Kelab”

Musim 2022 Belum Tamat, Zamsaham Senaraikan Penaja TRW Kelantan Bagi Tahun 2023