Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Manchester City, Ferran Soriano berpendapat masanya akan tiba buat pasukan tersebut untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat pertama kali.

Selepas dibeli oleh Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan pada musim panas tahun 2008, Manchester City telah berbelanja besar untuk memantapkan barisan pemainnya tetapi masih belum mampu untuk menjuarai saingan UCL.

Peluang paling hampir buat The Cityzens ialah pada musim 2020/21 dimana mereka layak ke perlawanan akhir buat pertama kali tetapi peluang tersebut dinafikan oleh jaringan tunggal Kai Havertz bagi membolehkan Chelsea muncul juara.

Melihat kepada perkara tersebut, Soriano melihat Manchester City tidaklah terlalu obses untuk menjuarai saingan paling berprestij di Eropah itu dan beliau yakin masa yang tepat akan tiba buat mereka [untuk muncul juara UCL].

Malah, beliau turut mengatakan bahawa Real Madrid hanya sedikit beruntung sehingga berjaya muncul juara pada musim lalu apabila menewaskan Liverpool di pentas akhir.

“Liga Juara-Juara Eropah adalah trofi yang kami mahukan, namun kami tahu bahawa itu bergantung kepada sedikit keberuntungan dan kami tidak terlalu obses dengannya,” ujar Soriano menurut laporan Goal.

“Orang ramai pada hari ini mengatakan tentang kejayaan dimiliki Madrid dalam beberapa musim terakhir dan saya berfikir adalah adil untuk mengatakan mereka sedikit beruntung.”

“Mungkin saya boleh mengataka bahawa mereka boleh kalah ketika bertemu PSG [pusingan 16], bertemu Chelsea [suku akhir], menentang kami [separuh akhir] atau Liverpool.”

“Orang tidak ingat bahawa pada tahun 80an dan 90an, Real memiliki skuad yang hebat, salah sebuah yang terbaik dalam sejarah dengan [Emilio] Butragueno dan La Quinta tetapi mereka tidak mampu untuk menjadi juara.”

“AC Milan menewaskan mereka setiap musim. Jadi mereka agak beruntung pada ketika ini, tetapi mereka juga sangat tidak beruntung selama bertahun-tahun.”

“Kami masih bersabar, ini bukan perkara yang membuatkan kami obses. Kami akan memenanginya [UCL] pada waktu yang tepat,” tambah Soriano lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Piala Dunia 2022: FIFA Benarkan Pasukan Daftar 26 Pemain

TMJ Dedahkan Jordi Amat Bakal Sarung Jersi JDT

Manchester United Tak Rela Lepaskan Maguire Ke Barcelona

Sumber