Penambahan kuota pemain import yang diperkenalkan bagi saingan Liga Malaysia 2023 dapat membantu kematangan pemain tempatan sama ada di saingan Liga Super atau Liga Simpanan.

Malah, kemampuan dimiliki pemain dari luar negara itu boleh menarik kehadiran ramai penonton ke stadium jika mereka dapat berikan banyak sumbangan untuk pasukan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali, beliau tiada masalah menerima penambahan jumlah import 5+1 seperti yang dimaklumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi Liga Super selain kebenaran oleh MFL bagi pendaftaran 9 pemain import secara maksimum kepada semua pasukan pada musim depan.

Namun kuota penggunaan pemain pada hari perlawanan masih kekal iaitu 3+1 (Asia)+1 (Asean) dengan tambahan seorang pemain di bangku simpanan.

Tidak menafikan perkara itu pasti akan berikan peningkatan dari segi bajet pasukan, beliau berkata mereka perlu sentiasa rasional dalam aspek perbelanjaan.

“Kita tidak dapat menafikan pemain import ini bantu perkembangan minda dan prestasi pemain malah menjadi satu faktor tarikan penonton ke stadium.”

Sanrawat Dechmitr dari Thailand kini bersama KDA FC. Kredit Foto: Kedah Darul Aman FC

“Memang benda ini bagi kesan terhadap bajet pasukan tetapi kita kena bijak kawal perbelanjaan.”

“Penambahan import ini akan menaikkan lagi mutu liga kita kerana mereka boleh menjadi contoh kepada pemain-pemain muda.”

“Mereka (pemain-pemain muda) boleh melihat bagaimana pemain luar ini bekerja serta sejauh mana tahap profesional yang dimiliki.”

“Saya anggap ini satu perubahan yang berani selain cabaran baharu bagi semua pasukan dan harap kita boleh mendapat keputusan yang memuaskan,” katanya.

Sebagai perbandingan, Liga Profesional Arab Saudi membenarkan pengambilan pemain import seramai 8 pemain dan 7 daripada mereka dibenarkan beraksi serentak dalam satu-satu perlawanan.

Manakala Liga Thailand membenarkan 7 pemain asing ( 3 terbuka, 1 AFC, 3 ASEAN) bagi Thai League 1 yang boleh bermain dalam sesuatu perlawanan dan 5 import ( 3 terbuka, 1 AFC, 1 ASEAN) bagi Thai League 2.